Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof malam ini menyertai larian sejauh enam kilometer (km) pada acara Anak Sarawak International Half Marathon (ASIHM21) di sini, yang disertai hampir 7,000 peserta.
Selaku penaung Sarawak Volunteers yang menganjurkan acara larian itu, Fadillah turut melepaskan peserta bagi dua kategori lain iaitu 11 km dan 21 km.
Sebelum memulakan larian, beliau sempat menyampaikan ucapan ringkas untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada para peserta.
ASIHM21 yang bermula pada 8 malam ini membawa peserta menyelusuri keindahan hutan konkrit Kuala Lumpur dengan laluan melalui dua lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).
Acara itu berjaya menarik penyertaan peserta dari pelbagai negara.
Antaranya Sepanyol, Jerman, Itali, Kanada, Argentina, Turkiye, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia sekali gus menjadi satu tarikan pelancongan sukan buat negara.-Bernama