Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai akuan bersumpah (SD) mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri berkata, beliau mahu memberi fokus utama membangunkan negara daripada melayan dakwaan dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu.
“Tak apa lah, apa dia (Muhammad Sanusi) nak cakap lagi. Tak perlu komen, saya kerja (fokus kerja).
“Kalau ada kes dan isu besar saya akan jawab,” ujarnya ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan sempena Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Pejabat Ketua Pembangkang menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 ahli Parlimen daripada PN untuk datang menghadap baginda bersama SD masing-masing.
Kenyataan bertarikh 6 Januari itu didakwa dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti ditularkan di media sosial juga adalah palsu.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi turut mendakwa PN sudah mempunyai jumlah SD yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh sebaliknya menunggu hari untuk ambil alih kerajaan.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menegaskan bahawa ‘Langkah Dubai’ tidak akan memberikan kesan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinannya. – UTUSAN