Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menggesa semua rakyat Malaysia memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan kemampuan dirinya sebagai Perdana Menteri.
Dalam temu bual eksklusif bersama The Straits Times Singapura, Sultan Ibrahim bertitah, tidak mungkin untuk Anwar membuat perubahan mendadak dalam tempoh satu tahun.
“Saya tidak fikir anda boleh menukar negara dalam satu tahun.
“Saya fikir (Kerajaan Perpaduan) ada menteri yang baik seperti (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke.
“Saya akan menyokong kerajaan, namun jika saya fikir mereka melakukan sesuatu yang tidak wajar, saya akan memberitahu mereka,” titah baginda dipetik dalam temubual itu.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak menjangkakan akan ada masalah bekerja dengan Anwar kerana Ahli parlimen Tambun itu mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.
Baginda bertitah, Anwar kadangkala menghubunginya untuk mendapatkan nasihat, walaupun pada tengah malam.
Pada 27 Oktober lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, pelantikan baginda selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.-BH Online