Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seramai 158 mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara, masih terkandas di negara destinasi, setakat bulan lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata mereka adalah sebahagian daripada keseluruhan jumlah 428 mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan yang dilaporkan.

“Hingga 20 November lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 270 mangsa warganegara tempatan yang terjebak sindiket jenayah penipuan pekerjaan ini.

“Daripada statistik laporan polis serta mangsa di negara destinasi, sebanyak 325 laporan polis diperoleh membabitkan Myanmar, Kemboja, Laos dan lain-lain,” katanya ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Teo Eng Tee mengenai tindakan komprehensif diambil kementerian dalam menangani masalah kes penipuan dalam talian yang mengandungi unsur penyeludupan manusia oleh sindiket untuk bekerja secara paksa di luar negara.

Menjelaskan lanjut, Shamsul Anuar berkata, pelbagai langkah dilaksanakan, termasuk mengadakan operasi bersepadu secara berterusan dalam usaha menangani sindiket penipuan pekerjaan di luar negara dan menyelamatkan mangsa.

“Dalam usaha menangani masalah ini, PDRM sudah menjalankan empat siri operasi bersepadu mulai Ogos 2022 hingga Julai tahun ini. Hasilnya, empat sindiket di Lembah Klang serta Johor ditumpaskan.

“Melalui siri operasi itu, sebanyak 12 tangkapan dibuat membabitkan warga tempatan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya.

Beliau berkata, usaha lain dilaksanakan termasuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa Kemboja, Thailand, Myanmar dan Laos untuk perkongsian maklumat serta penyelesaian dalam misi menyelamatkan mangsa.

“Kami juga mengenal pasti sindiket yang menjadi dalang, terutama ejen pekerjaan berada di Malaysia, dan menjalankan siasatan komprehensif bagi menghasilkan pendakwaan.

“Usaha lain termasuk meningkatkan kesedaran awam dan tahap kefahaman pelbagai lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar, mengenai operasi sindiket berkenaan,” katanya. – BERNAMA