Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Di sebalik Pas sentiasa masih berharap dapat bekerjasama dengan UMNO dan memasang angan-angan untuk meruntuhkan tembok perpaduan PH/BN

kenyataan terkini Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam telah meranapkan impian mereka.

Melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh UMNO selepas mesyuarat MT secara langsung memberi ingatan agar parti Islam itu segera berhenti daripada bermimpi untuk memusnahkan tembok perpaduan PH/BN juga Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya mesyuarat MT UMNO malam tadi terus membuat ketetapan untuk perpaduan semakin lebih kukuh lagi.

Mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Zahid itu bersetuju membuat pendirian untuk UMNO terus memperkukuh dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan berkata, ketetapan itu diambil kerana UMNO akur dengan titah Yang Dipertuan Agong berkaitan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang.

Berkaitan hal yang sama, tegas Dr Asyraf Wajdi lagi, mesyuarat MT UMNO juga memperakukan bahawa semua Ahli Parlimen dan Adun parti akan terus mendokong pendirian menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sebagaimana diputuskan MT UMNO pada mesyuarat 24 November 2022 yang kemudian diluluskan oleh Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada 14 Januari 2023.

Seterusnya, bagi meningkatkan lagi kefahaman dan kerjasama, beliau berkata, UMNO bersetuju untuk mengadakan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri-negeri yang akan diadakan bermula Januari 2024.

Sebagai parti yang tidak lupa memperkasa agenda Melayu, UMNO juga memutuskan untuk mengadakan Kolokium Khas bersempena Kongres Ekonomi Bumiputera pada 6 Januari 2024 yang bakal membentangkan hala tuju dan tawaran ekonomi baharu untuk orang-orang Melayu.

Berdasarkan keputusan MT UMNO malam tadi, adalah tidak diragukan lagi bahawa parti itu benar-benar komited mahu terus memperkukuh sokongan dan keberadaannya dalam Kerajaan Perpaduan.

Sebarang unsur yang cuba mengugat bukan saja ditolak, malah dengan sendirinya tertolak berikutan beberapa ketetapan yang diputuskan tersebut.

Melalui konvensyen di negeri-negeri yang bakal diadakan nanti misalnya, kerjasama dan kefahaman semua parti berkaitan Kerajaan Perpaduan pasti bertambah teguh lagi.

Ia malah akan mengukuh sehingga ke peringkat akar umbi di setiap negeri.

Bermakna, tiada ruang sama sekali untuk Kerajaan Perpaduan ini digugat, bahkan kemantapan yang terserlah itu tidak mustahil mengundang lebih ramai mereka di sebelah sana memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.-Media Perpaduan