Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pertahan kakitangan imigresen yang mempersoalkan tindakan individu tidak fasih bahasa Melayu ketika ingin memperbaharui pasport di UTC Johor.

Saifuddin berkata, tindakan diambil pegawai itu berkemungkinan kerana wujudnya unsur syak wasangka status kewarganegaraan individu berkenaan apabila tidak fasih berbahasa kebangsaan.

“Mungkin ia berlaku sebab menimbulkan syak wasangka, sebelum ini semasa KDN membuat kajian tentang warganegara, kami dapati syarat kuasai bahasa itu juga menjadi syarat (kewarganegaraan) bagi beberapa negara termaju dunia, Singapura, UK…kalau tak boleh faham bahasa tempatan tak layak.

“Bagi kita terpahat dalam Perlembagaan negara BM itu bahasa rasmi, bahasa lain bebas dipelajari dan digunakan, jadi asasnya di situ.

“Kewajipan seseorang warga untuk kuasai BM itu, tak boleh kita kompromi…sebab itu perlu faham bahasa (Melayu) supaya tidak timbal syak wasangka,” katanya pada sidang media sempena sambutan setahun dan perhimpunan bulanan KDN.

Beliau turut memberi contoh sebelum ini pernah berlaku syak wasangka terhadap individu kerana mirip muka tidak menyamai ibu bapa, bagaimanapun selepas siasatan mendapati berlaku pemalsuan dokumen bagi mendapatkan kad pengenalan diri.

Baru-baru ini, seorang wanita tular di media sosial apabila berkongsi pengalaman memperbaharui pasport di UTC Johor.

Wanita itu mendakwa diherdik seorang kakitangan lelaki di pejabat imigresen kerana tidak fasih berbahasa Melayu ketika mahu memperbaharui pasport anak perempuannya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) memantau serta meneliti aktiviti pertubuhan, termasuk status kewangan secara berkala, susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku akaun Aman Palestin, baru-baru ini.

Katanya pemantauan itu perlu dilakukan bagi memastikan isu sama tidak berulang.

“Jadi JPPM ketika jalankan tugas hakiki, masih boleh dari semasa ke semasa buat pemeriksaan, kalau yang berdaftar 70,000 (ke) 80,000, bawah JPPM tapi dari masa ke semasa, buat semakan secara rawak, berkala,” katanya.