Sejumlah 1,147 hantaran telah diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sehingga 15 November lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, cadangan untuk mewujudkan akta khusus bagi menangani isu buli siber di negara ini adalah salah satu yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Perpaduan.
“Statistik kandungan telah mengikut platform media sosial adalah TikTok 804 posting, Facebook 195, aplikasi X 7, Instagram 9, Youtube 9 dan lain-lain 123 posting.
“Walaupun begitu saya amat setuju dengan pandangan Masjid Tanah bahawa buli siber ini khasnya dalam golongan remaja bukan satu isu yang remeh temeh dan dipandang ringan jadi saya secara terbuka menerima cadangan mungkin satu akta khusus boleh diwujudkan untuk buli siber ini.
“Saya akan bawa balik cadangan ini untuk dibincangkan dengan pemegang taruh yang lain dan tengok mana kementerian yang sesuai untuk bawa akta tersebut,” katanya menjawab soalan kedua pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Nie Ching menjawab demikian untuk soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah yang diambil untuk mencegah penyalahgunaan media sosial sehingga terdapat kes bunuh diri dilaporkan akibat buli siber dalam platform TikTok.
Menurut Nie Ching, perbuatan buli termasuk buli siber hingga menyebabkan kes bunuh diri merupakan satu jenayah bawah bidang kuasa polis.
SKMM katanya, bertanggungjawab menjalankan fungsi-fungsinya melalui kuasa yang diperuntukkan bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“Seksyen 233, Akta 588 memperuntukkan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain, bagi membuat, mewujudkan, meminta-minta, dan memulakan penghantaran kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
“Jika disabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette