Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kepimpinan PKR diminta tidak berputus asa dengan rakyat di Pantai Timur Malaysia Barat, meskipun Pakatan Harapan tewas di Kelantan dan Terengganu pada PRN lalu.

Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kepimpinan PKR perlu tolak tanggapan ‘buat apa pun tidak akan menang’ di Pantai Timur, sebaliknya terus berusaha menawan negeri-negeri itu.

Beliau mengingatkan para perwakilan bahawa dengan cekal PKR akhirnya dapat menembusi Sabah, Sarawak dan Selangor.

“Itulah pandangan kita dulu kepada Selangor, Sabah dan Sarawak tapi kita dapat tembus dan menang.

“Kalau kita kerja keras di Kelantan dan Terengganu saya yakin kita dapat lakukan ‘breakthrough’ sekiranya ada iltizam dan keyakinan… memang tidak mudah, saya tidak pura-pura ia mudah,” katanya pada Kongres PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi yang juga menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim menjelaskan kepada para perwakilan bahawa keputusan kerajaan meluluskan peruntukan tambahan segera RM500 juta bagi mengatasi masalah air bersih di Kelantan bukan untuk meraih undi tetapi melaksanakan tanggungjawab.

“Kalau kita dapat memenangi hati pengundi Pantai Timur, insya-Allah kita juga dapat pecahkan tembok untuk kita memenangi majoriti pengundi-pengundi Melayu di seluruh negara,” katanya.-FMT