Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

16.8% daripada perbelanjaan kesihatan negara iaitu sejumlah RM 9.65 bilion dibelanjakan bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, anggaran itu dibuat pada tahun 2017 dan laporan dikeluarkan pada 2022 melalui The Direct Health-care Cost Of Non Communicable Disease In Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan 2019 juga mendapati 50 peratus rakyat malaysia sekurang-kurangnya menghidap satu penyakit tidak berjangkit iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.

Kencing Manis ataupun Diabetes di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara dimana negara mencatatkan peningkatan ketara daripada 11.2% pada 2011 kepada 18.3% pada 2019, iaitu menunjukkan satu dalam dua kes kencing manis

Beliau berkata, jumlah perbelanjaan untuk rawatan diabetes sahaja mencecah RM 4.38 bilion atau 45.38% daripada keseluruhan perbelanjaan dalam rawatan penyakit NCD.

“Ini diikuti rawatan penyakit kardiovaskular dengan sejumlah RM 3.93 bilion atau 40.73% dan RM 1.34 bilion atau 13.89% bagi rawatan kanser,” katanya pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Zaliha menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu jumlah dibelanjakan untuk menangani NCD terutama diabetes dan perancangan untuk menangani prevalens NCD yang tinggi di Malaysia.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata perbelanjaan bagi rawatan NCD itu merangkumi perbelanjaan kemasukan ke hospital, penjagaan primer di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di hospital, pemeriksaan dan ujian kesihatan serta pembiayaan perubatan.

Menurutnya pada 2017, NCD memberi impak negatif kepada ekonomi dengan kos tidak langsung akibat penyakit itu adalah RM12.88 bilion dalam bentuk kehilangan produktiviti.

“Diabetes mencatatkan kehilangan produktiviti tertinggi sebanyak RM 5.74 bilion dan kardiovaskular RM 5.32 bilion,” katanya.

Sebagai langkah intervensi dan usaha advokasi mengenai bahaya penyakit NCD, Zaliha berkata kementerian akan melancarkan satu pelan advokasi gula dalam masa terdekat.

“Kami juga dalam fasa akhir sesi libat urus dengan persatuan penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya untuk sediakan minuman tanpa gula kepada masyarakat bagi kempen kurangkan gula dengan slogan ‘satu sudu teh dah cukup, kurang lebih baik, tiada terbaik’,” katanya.