Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad dan beberapa entiti berjumlah RM15.8 juta susulan siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.


Katanya, ia turut membuat penggeledahan premis Aman Palestin untuk mendapatkan dokumen berkaitan kewangan serta pengurusan operasi sejak lima tahun lalu.

SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting bagi melengkapkan siasatan.

“Hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM 70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain objektif penubuhan syarikat berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

SPRM berkata, siasatannya dimulakan 17 Okt lalu bagi kesalahan bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001(AMLATFPUAA 2001) serta Kanun Keseksaan (Akta 574).

Sebelum ini, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos lalu meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) tidak membenarkan Tabung Aman Palestin mengutip derma di premis agama Islam negeri itu.

Beliau menyuarakan keraguan terhadap pengumpulan dan pengagihan dana Aman Palestin serta menuntut lebih banyak ketelusan dalam perkara itu. Justeru, JAIPs menangguhkan pengumpulan dana oleh Aman Palestin di Perlis bermula 12 Okt lalu sehingga siasatan selesai.