Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki, “Tidak mungkin negara ini akan berubah menjadi negara sekular yang memisahkan pentadbiran negara dan negeri daripada agama Islam”.

Beliau berkata, tohmahan pemimpin PAS kononnya pentadbiran Kerajaan Perpaduan sedang menuju ke arah menjadikan Malaysia negara sekular sebuah penipuan semata-mata.

Apatah lagi, katanya, Kerajaan Perpaduan terbentuk dengan kehadiran Ahli Parlimen UMNO yang sudah tentu akan menentang sehabis baik, sekiranya fantasi itu ingin direalisasikan, seperti didakwa.

“Perjuangan UMNO meletakkan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. Malaysia boleh menjadi negara sekular jika dua pertiga Ahli Parlimen setuju meminda Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Takkan orang UMNO bengong begitu (untuk menyokong pindaan), takkan orang Islam dalam PKR bengong begitu? Takkan lapan Ahli Parlimen Amanah bengong begitu? Kita masih ada iman, kita masih ada Islam dalam diri kita,” katanya ketika ceramah di Kampung Chabang, Kerteh, Chukai, semalam.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.

Asyraf berkata, Malaysia juga mempunyai Raja-raja Melayu yang mempunyai kuasa sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agong bagi Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

“Kalau ikut puak PAS tipu rakyat di bawah (kononnya) negara ini nak jadi negara sekular, kita masih ada Raja-raja Melayu. Jadi, tak mungkin negara ini jadi negara sekular.”

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 Nov dan 2 Dis bagi pengundian awal serta hari mengundi.