Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata beliau sudah menjelaskan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jawapan untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Katanya, pendudukan Gaza juga akan menjadi suatu `kesilapan besar’.

Biden berkata, beliau sudah melakukan segala-galanya untuk membebaskan tebusan yang ditahan Hamas di Gaza, tetapi itu tidak bermakna menghantar tentera AS.

Presiden AS itu berkata, mesejnya kepada tebusan adalah `tunggu di sana, kami akan datang’.

Perkara itu bagaimanapun menimbulkan persoalan tentang apa yang beliau maksudkan.

Ketika diminta untuk menjelaskan perkara itu, Biden berkata: “Apa yang dimaksudkan ialah, saya akan melakukan segala-galanya dalam kuasa saya untuk mengeluarkan tahanan”.

“Datang untuk membantu dan mengeluarkan tahanan. Saya tidak bermaksud menghantar tentera ke sana … saya tidak bercakap tentang tentera,” katanya.

Biden berkata, beliau mengusahakan isu itu secara berterusan, dan tidak akan berhenti sehingga tebusan termasuk seorang kanak-kanak AS berusia tiga tahun dibebaskan.

Katanya, Hamas melakukan jenayah perang dengan menempatkan ibu pejabat tenteranya di bawah hospital.

Menurutnya, Israel pergi ke hospital terbesar di Gaza, Al-Shifa, dengan bilangan tentera yang terhad dan tidak mengebom keseluruhan tapak berkenaan.

“Mereka diberitahu…kami membincangkan keperluan untuk mereka berhati-hati,” katanya, sambil menambah Israel mempunyai kewajipan untuk berhati-hati dalam mengejar sasaran.

Bagaimanapun, Biden berkata, adalah `tidak realistik’ untuk mengharapkan Israel menghentikan tindakan ketenteraannya, memandangkan terdapat ancaman oleh pegawai kanan Hamas bahawa mereka berhasrat untuk menyerang Israel sekali lagi.

Katanya, Israel juga membawa masuk inkubator dan peralatan lain untuk membantu orang ramai dan memberi peluang kepada doktor, jururawat serta kakitangan lain untuk `keluar daripada bahaya’.

Semalam, Israel berkata, tenteranya menemui senjata dan peralatan tempur di Hospital Al-Shifa ketika operasi pencarian.

Hamas bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai ‘pembohongan.

Biden berkata beliau sudah memberitahu Netanyahu bahawa perang hanya akan berakhir apabila penyelesaian dua negara dicapai.

“Saya jelaskan kepada Israel bahawa saya fikir ia adalah satu kesilapan besar bagi mereka untuk menduduki Gaza,” katanya.-Reuters