Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan menyembunyikan sebarang penderaan yang dilakukan oleh majikan terhadap pekerja domestik termasuk Indonesia yang bekerja di negara ini.

Menterinya, S Sivakumar berkata, KSM sememangnya ada menerima aduan berkaitan pekerja domestik termasuk Indonesia yang tidak menerima gaji dan perkara ini dalam perhatian kementerian.

Katanya, beliau sudah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang melanggar undang-undang Akta Kerja bagi memastikan Malaysia bebas dari aktiviti buruh paksa.

“Perkara ini menjadi inspirasi kepada saya serta KSM dan kita tidak nafikan tiada kes membabitkan pekerja asing.

Kita bersedia mengambil tindakan terhadap majikan yang menyalahgunakan kuasa untuk mendiskrimasi mana-mana pekerja,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Kementerian Sumber Manusia Sempena Sambutan Deepavali 2023 di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, Duta Besar Republik Indonesia (KBRI) ke Malaysia, Datuk Indera Hermono dalam kenyataannya berkata, isu berkaitan penderaan, penganiayaan dan manipulasi Pembantu Rumah Asing (PRA) Indonesia di Malaysia perlu diadakan siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, perkara ini memerlukan penyelesaian segera dan menyeluruh daripada majikan serta penguatkuasaan ketat oleh pihak berkuasa.

Sivakumar berkata, sekiranya ada laporan beliau mahu perkara ini disiasat dengan segera untuk diambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana majikan yang melakukan kesalahan.

Menurutnya, perkara ini bukan kali pertama disebut malah sudah berulang kali dan sekiranya masih terdapat majikan yang mengabaikan tanggung jawab dan cuai akan dikenakan tindakan di mahkamah.

Katanya, sebelum ini kementerian juga sudah menyelamatkan pekerja yang didera di kediaman majikan termasuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Kementerian menyeru KBRI membuat laporan sekiranya terdapat rakyatnya yang berkerja di negara ini didera oleh majikan termasuk tidak dibayar gaji,”katanya.-Berita Harian Online