Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan hasrat kepada China untuk bersama-sama memastikan konflik Palestin-Israel segera diselesaikan dan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan.

Perkara itu dikongsi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengenai pertemuan dan perbincangan Anwar dengan Naib Presiden China, Han Zheng yang mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri di Perdana Putra di sini sempena lawatan rasmi empat hari Han ke Malaysia bermula semalam.

Foto: FB Anwar Ibrahim

“Perdana Menteri (Anwar) berharap agar China memainkan peranan aktif yang telah disuarakan kepada Han dalam perbincangan tadi. Respons baik dari China agar masalah konflik Palestin-Israel segera diselesaikan,” katanya kepada media selepas pertemuan dua pemimpin berkenaan di sini semalam.

Zambry berkata China juga menyatakan kekal dengan komitmen yang selama ini mengiktiraf Palestin dari segi kedudukannya.

China kini menyandang jawatan Pengerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula 1 November lalu.

Pada 3 November lalu, China dilaporkan berkata situasi Palestin-Israel adalah kerja paling mendesak antaranya menggalakkan gencatan senjata agar mengelakkan bencana kemanusiaan lebih teruk serta mencegah konflik daripada merebak.

Perbincangan dua hala Anwar dan Han lebih sejam turut menyentuh untuk mengeratkan hubungan Malaysia dan China serta merancakkan pelaburan dan kerjasama dalam pelbagai sektor.

Perbincangan lain yang disentuh adalah isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, kerjasama dalam industri halal dan juga ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang akan disambut pada 2024.

Lawatan Han adalah bersempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia dan China tahun ini.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak sedekad yang lalu. Jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada 2022 bernilai RM487.13 bilion (AS$110.62 bilion) meningkat 15.6 peratus berbanding 2021.

China juga pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada 2022 dengan pelaburan berjumlah RM55.4 bilion (AS$12.5 bilion).-Bernama