Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), 2011-2015, pembangunan luar bandar diberi keutamaan untuk mempertingkatkan inklusiviti, selaras dengan perkembangan ke arah mencapai negara maju yang inklusif.

Pembangunan luar bandar memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar dan merangsang aktiviti ekonomi yang berasaskan pembangunan tanah dan sumber asli.

Penekanan juga diberikan kepada penyediaan infrastruktur asas luar bandar, yang telah meningkatkan liputan bekalan air dan elektrik serta jalan di seluruh negara.

Namun begitu, melalui pelbagar dasar yang diperkenalkan olej Kerajaan Perpaduan pada hari ini, aktiviti ekonomi luar bandar telah diperkukuh bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan produktiviti untuk menambah pendapatan masyarakat luar bandar.

Pelbagai langkah diambil termasuk menggalakkan lebih banyak pelaburan swasta, menambah baik hubungan antara luar bandar dengan bandar, memperluaskan pelaksanaan program di bawah konsep Kampung Abad ke-21, menggalakkan penggunaan teknologi moden dan memperkasakan komuniti usahawan luar bandar.

Demi mendorong kemampuan usahawan luar bandar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah pimpinan YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, telah memperkenalkan pelbagai usaha baharu.

Antaranya, Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED), dan Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

Bagi SPKLB, terdapat enam (6) bidang atau teras utama untuk pengukuhan keusahawanan meliputi perkhidmatan, produk makan dan minuman, pembuatan dan perkilangan, pertanian membabitkan industri hiliran dan teknologi, teknologi ICT dan kreatif, serta industri kesejahteraan (wellness). Bukan itu sahaja, pemberian bantuan pelaksaan turut disediakan melalui kaedah geran penuh dengan nilai RM 3000-RM 5000.


Teknologi digital juga memainkan peranan penting dalam memasarkan produk yang dihasilkan. Bagi usahawan luar bandar, perkara ini amat mustahak kerana teknologi digital berpotensi menghubungkan perniagaan dengan pasaran lebih besar di kawasan bandar.

Proses pendigitalan yang rumit memerlukan perubahan gaya fikir dalam masyarakat, terutamanya usahawan yang baru sahaja mula berkecimpung dalam dunia urus niaga. Aktiviti perdagangan elektronik turut menggalakkan kemampanan perniagaan.

Dalam pada itu, penggunaan internet merupakan cara kukuh dalam membantu perniagaan kecil beroperasi setara dengan perniagaan besar.

Sokongan pihak kerajaan dan swasta menerusi pendidikan, latihan, serta pembangunan infrastruktur amat diperlukan bagi meningkatkan kemahiran (skill-set).

Kerana cakna dengan perkembangan ini, KKDW telah melangsungkan Program Pendigitalan Usahawan Desar (PPU) 2023 pada bulan Ogos. Seramai 1247 usahawan luar bandar telah menyertai PPU 2023, sekali gus mengatasi sasaran awal 1000 usahawan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan.

KKDW juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.7 juta bagi mempergiat program e-dagang untuk usahawan luar bandar serta memberi bimbingan untuk memasarkan produk mengikut perkembangan terkini, termasuklah penggunaan aplikasi TikTok.

Tuntasnya, bagi memastikan kesepaduan dan kesejahteraan rakyat, keseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar patut diutamakan. Bagi negara membangun seperti Malaysia, keseimbangan pembangunan merupakan salah satu prasyarat bagi memacu negara mencapai status negara maju.

KKDW terus beriltizam memartabatkan usahawan luar bandar. Bakat mereka perlu dipupuk bagi membina modal insan yang mantap, serta memastikan pembangunan masyarakat yang seimbang dalam segenap aspek.

Justeru, membangunkan masyarakat luar bandar yang mampan adalah penting dalam mewujudkan Malaysia selaras dengan agenda Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Mereka harus didorong untuk terlibat dalam rangkaian dan penggunaan teknologi digital yang kian meluas serta amalan mampan yang lain, bakat sedia ada perlu digabungkan dengan kaedah dan kebijaksanaan tradisi, agar memberi akses yang sama kepada masyarakat luar bandar dan lebih penguasaan ke atas kerja mereka, tanpa melunturkan atau mengancam adat kampung dan kebudayaan.