Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim semalam melalui satu dalam kenyataan media di Facebook telah mengisytiharkan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkembangan ini selepas dua Ahli Parlimen BERSATU masing-masing dari Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, masing-masing mengisytiharkan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Walau bagaimanapun, pada PRU15 lalu, Mohd Azizi bertanding menggunakan logo PAS.

Mohd Azizi berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Gua Musang terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang dimohon untuk kawasan Parlimen berkenaan dalam tempoh perkhidmatannya.

“Selepas meneliti dan mendengar Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan untuk rakyat Malaysia, saya selaku ahli Parlimen Gua Musang dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula hari ini.

“Keputusan saya ini adalah bertujuan memastikan kebajikan penduduk di Parlimen saya terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang saya mohon untuk dilaksanakan di Parlimen saya dalam tempoh penggal perkhidmatan saya.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya

Mengulas lanjut, beliau sejujurnya tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati parti BERSATU, tetapi melakukannya demi memastikan Parlimen Gua Musang seiring dengan pemerintahan Kerajaan Persekutuan.

“Adalah wajar untuk saya bersama dalam saf kepimpinan Putrajaya yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Buat masyarakat Gua Musang yang sangat saya kasihi, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah S.W.T sentiasa memberkati bumi bertuah Gua Musang dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimana kita harapkan,” katanya.

Pada PRU15 lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis 163 undi menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah daripada Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Gua Musang.