Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengaitkannya dengan Israel.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak akan membenarkan sebarang kenyataan yang biadab dan melanggar tata susila.

“Tengok ye, supaya jangan Ketua Dewan Ulama (PAS) gunakan Harakah kaitkan saya dengan Israel.

“Itu satu kenyataan yang biadab, yang melanggar tata susila. Fitnah yang guna serban, tidak sah dan saya bantah keras-kerasnya dan kalau diulang saya akan ambil tindakan keras terhadap sesiapa yang menggunakannya.

“Ini yang saya sebut membina mahligai atas pusara orang mati… kita kerja setiap hari, bawa kes ini, minta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adakan sidang, bawa China, Russia, Brazil, Ireland, Bolivia, bincang dengan Jepun, dengan duta Netherlands (Belanda),” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin.-Berita Harian Online