Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Subjek baharu yang mengkhusus kepada keusahawanan dan kewangan disarankan diperkenalkan di sekolah menengah negara ini sebagai langkah mendidik generasi muda celik menguruskan kewangan mereka.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pengenalan subjek khas keusahawanan dan kewangan juga membolehkan generasi muda didedahkan untuk terbabit dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sejak awal.

Katanya, ketika ini tiada subjek khusus mengenai keusahawanan dan kewangan diajar di sekolah menengah menyebabkan golongan muda negara tidak terdedah terhadap aspek menguruskan kewangan mereka dengan berkesan.

“Saya mengesyorkan kurikulum atau subjek khas mengenai keusahawanan dan kewangan diperkenalkan di peringkat sekolah menengah mulai Tingkatan Satu hingga Enam.

“Langkah ini supaya rakyat terutama orang muda lebih memahami mengenai keusahawanan dan kewangan dengan lebih berstruktur dan bersistematik.

“Jika mereka belajar tiga jam selama seminggu dan didedahkan selama lima tahun di sekolah, ramai generasi muda kita akan dapat faedah, sekali gus celik usahawan dan kewangan.

“Setiap tahun, seramai 400,00 hingga 500,000 keluaran SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dihasilkan pendidikan negara dan daripada angka itu hanya 40 peratus ada STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), vokasional atau teknikal, diploma dan ijazah ke atas, manakala 60 peratus lagi hanya ada SPM.

Jadi subjek khas keusahawanan dan kewangan ini amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Karnival Celik Kewangan Johor, di sini, hari ini. Hadir sama, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau turut mengesyorkan jawatankuasa Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang turut dianggotai BNM, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) selain Kementerian Pendidikan, supaya melakukan kajian awal terhadap pengenalan subjek baharu itu.

Katanya, ia supaya semua input berkaitan dapat dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan.

“Untuk mewujudkan kurikulum itu masih belum ada perbincangan lanjut, namun saya sarankan Jawatankuasa FEN mengambil inisiatif awal.

“Sebelum ini jawapan di Dewan Rakyat sering menyebut modul keusahawanan dan kewangan hanya diajar merentas pelbagai subjek, tidak secara khusus dan menyeluruh menjadikan aspek keusahawanan dan kewangan itu tidak diambil berat golongan muda,” katanya.- Berita Harian