Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dalam Belanjawan 2024, terdapat peningkatan peruntukan bagi pembangunan Sabah dan Sarawak menjadi bukti kerajaan komited dalam menambahbaik kemudahan infrastruktur di dua buah negeri ini.


Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, antara perkara yang diberi tumpuan dalam Belanjawan 2024 adalah pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di Sabah dan Sarawak dilihat melalui penambahan peruntukan.

“Menyedari kedudukan kewangan negara yang mencabar, sudah pasti peningkatan yang diberikan itu, kita sepatutnya boleh dikatakan bergembira sebab itu menggambarkan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan Perpaduan untuk bantu dan beri komitmen supaya Sabah dan Sarawak diberi tumpuan untuk meningkatkan infrastruktur.

Dia turut mengulas mengenai lawatan Yang di-Pertuan Agong melalui Kembara Borneo mengenai keadaan infrstruktur di Sabah dan Sarawak dan baginda memberi laporan kepada Perdana Menteri mengenai aduan rakyat.

“Baginda mengatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Sabah dan Sarawak patut diberi peruntukan yang lebih selepas mendapati infrastruktur di negeri ini jauh ketinggalan berbanding negeri di Semenanjung,” katanya.

“Sebab itu kita kena pastikan bahawa jentera kerajaan selaku agensi pelaksana akan dapat melaksanakan kerja-kerja secepat mungkin dan sebaik mungkin supaya apa sahaja kerja yang ketinggalan yang perlu dilaksanakan dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya lagi ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Pasca Pembentangan Belanjawan 2024 yang disiarkan di BERNAMA TV, semalam.


Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat Jumaat lepas mengumumkan bagi pembangunan Sarawak meningkat kepada RM 5.8 bilion berbanding RM 5.6 bilion manakala Sabah meningkat kepada RM 6.6 bilion berbanding RM 6.5 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan, kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM 50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak. – BERNAMA