Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Apa yang ketara dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam ialah keprihatinan beliau yang konsisten membela kehidupan rakyat miskin serta golongan bawahan yang kurang berkemampuan.

Di sebalik tiada gegak gempita projek-projek besar diumumkan dalam belanjawan itu, Anwar sebaliknya memperlihatkan jati dirinya yang tidak pernah terpisah dalam membela golongan susah di negara ini.

Itulah roh dan jiwa ANWAR IBRAHIM yang sejak zaman pelajarnya sudah sebati membela nasib golongan miskin serta terpinggir.

Bermula daripada zaman pelajar melalui demonstrasi Baling, kemudian dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), memegang pelbagai jawatan dalam UMNO, 25 tahun sebagai pembangkang dan kini menerajui negara, itulah Anwar yang tidak pernah berubah sejak dahulu hinggalah sekarang.

Ketika dahulu Anwar hanya mampu bersuara dan sekarang telah berkuasa, keutamaan beliau tidak pernah berbeza dalam

membela golongan miskin, rakyat marhaen dan kelompok yang susah.

Dalam keadaan negara dijangka akan menanggung beban subsidi berjumlah RM81 bilion pada tahun depan, ia kini akan dilaksanakan dalam bentuk bersasar bagi meminumkan kos sara hidup rakyat, tidak lagi dalam bentuk pukal seperti sekarang.

Dalam hal ini, hanya rakyat bawahan atau B40 terus menikmati subsidi, manakala golongan M40, T20 dan warga asing akan dikenakan membayar pada harga biasa.

Buat permulaan, perlaksanaan subsidi bersasar akan diperkenalkan dalam penjualan minyak diesel bagi mengelak ketirisan dan penyeludupan, tetapi sejumlah pengguna terpilih akan terus menikmatinya.

Berikut adalah antara beberapa perkara yang dilakukan Anwar yang dalam Belanjawan 2024 yang jelas memperlihatkan jiwanya adalah bersama golongan rakyat bawahan.

-Memperuntukkan dana sebanyak RM2.6 bilion untuk subsidi untuk pesawah dan nelayan, bertambah RM 600 juta berbanding tahun sebelumnya.

-Menaikkan Bantuan Tunai Rahmah daripada RM3,100 kepada RM3,700 dengan bayaran pertama dinaikkan daripada RM300 kepada RM500, sementara untuk belia, ia dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.

– Memberi rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta ringgit setahun.

– Menyediakan peruntukan RM150 juta bagi menyelenggara dan membaiki tandas awam, termasuk tandas sekolah di seluruh negara .

– Memastikan tindakan diambil sesegera boleh dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan bagi membaiki jalan-jalan berlubang di Jalan Persekutuan di seluruh negara.

– Menetapkan yuran pendaftaran memasuki universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500 supaya pelajar yang layak mendapat pendahuluan daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mampu membayar jumlah tersebut.

– Seterusnya, memastikan universiti awam tidak boleh menghalang pelajar yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran daripada mendaftar subjek pada setiap semester atau menduduki peperiksaan mereka.

– Memperuntukkan RM1.2 bilion untuk melindungi kesejahteraan dan mendaya upaya orang kurang upaya (OKU), khusus dalam penjagaan OKU kronik yang terlantar, OKU tidak upaya bekerja dan elaun pekerja OKU.

– Di samping itu, kadar elaun pelatih OKU yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti turut ditingkatkan kepada RM300 sebulan berbanding RM150 sebelum ini dan langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih 18,000 pelatih OKU dengan tambahan peruntukan RM30 juta.

Melihat sebahagian daripada fakta di atas, termasuk pembayaran insentif RM2000 untuk kakitangan awam dan RM1000 bagi pesara, Anwar terus peka kepada golongan tersebut

Satu pendekatan yang pastinya mendasar terus ke jantung mereka yang memerlukan insentif tersebut.

Dan Anwar, melalui apa yang diumumkannya dalam Belanjawan 2024 itu kekal daripada dahulu hingga kini , adalah pejuang rakyat marhaen dan golongan miskin yang amat membanggakan.

Jika kita melihat dengan mata hati dan minda yang bersih pasti apa yang terkandung dalam Belanjawan 2024 amat melegakan bagi membantu negara terus membangun dan ke arah kemiskinan sifar. – Media Perpaduan