KUTIPAN hasil kerajaan pada 2024 dijangka meningkat daripada RM303.2 bilion tahun ini kepada RM307.6 bilion, manakala defisit fiskal diunjur berkurang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, defisit fiskal tahun depan diunjur berkurang kepada 4.3%, ketimbang sasaran 5% tahun ini dan 5.6% pada 2022.
“Dalam jangka sederhana, kita akan mencapai defisit fiskal 3% atau lebih rendah kepada KDNK sepertimana penanda aras ditetapkan dalam Kerangka Ekonomi Madani,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 kepada Dewan Rakyat, hari ini.
“Sukacita Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, kerana ia memperkukuh komitmen memperteguh tatakelola serta menjamin ketelusan dan pertanggungjawaban,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan menjangkakan pertumbuhan KDNK antara 4% hingga 5%, sekalipun Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4.3%.
“Dengan pembaharuan Ekonomi Madani yang bakal dilaksanakan, kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan menghampiri 5%,” katanya.
Anwar hari ini membentangkan belanjawan berjumlah RM393.8 bilion untuk 2024, yang mana RM303.8 bilion untuk belanja mengurus dan RM90 bilion untuk pembangunan.
Anwar berkata perbelanjaan tersebut melibatkan penambahan siling Rancangan Malaysia ke-12 sebanyak RM15 bilion ringgit lagi, menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion untuk tempoh lima tahun.
“Penambahan ini menunjukkan, kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang (expansionary fiscal stance) walaupun pada masa yang sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat,” katanya. -Media Perpaduan