KERAJAAN bersetuju meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta melalui Belanjawan 2024.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.
“Pemberian subsidi elektrik secara pukal sangat membebankan dan lebih menguntungkan golongan kaya.
“Pada tahun 2022, trend menunjukkan 10% pelanggan dengan penggunaan elektrik tertinggi menikmati 50% subsidi, sedangkan 50% pelanggan dengan penggunaan elektrik terendah hanya menikmati 10% subsidi yang diberikan,” katanya membentangkan Belanjawan 2024.
Anwar berkata, bermula tahun ini, kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10% penggunaan elektrik tertinggi,pada masa yang sama, mengekalkan subsidi yang sama bagi 90% pengguna.
“Pendekatan bersasar ini telah dapat menjimatkan lebih RM4.6 bilion daripada unjuran subsidi elektrik RM20 bilion ringgit.
“Namun, Kerajaan masih menanggung subsidi elektrik RM16 bilion ringgit untuk tahun 2023 khususnya bagi pengguna di rumah serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” katanya. -Media Perpaduan