Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BULI, gangguan seksual serta perkauman merupakan tiga dosa besar yang patut dinyahkan dalam bidang pendidikan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan untuk memberikan komitmen dalam menoktahan tiga “dosa besar” membabitkan kementeriannya itu.

“Terdapat tiga dosa besar dalam Kementerian Pendidikan. Tiga dosa besar. Satu buli, kedua gangguan seksual dan ketiga perkauman.

“Kami tidak akan berkompromi dengan ketiga-tiga isu ini. Sebab itu kami telah memperkemaskan garis panduan kerana kami tidak mahu ia berulang.

“Bulan lalu kami melancarkan dua garis panduan penting tentang buli dan gangguan seksual di sekolah,” katanya dipetik Malaysiakini.

Fadhlina menegaskan, era kepimpinannya akan berusaha memastikan tiada lagi kes seperti pelajar sekolah Ain Husniza Saiful Nizam, yang secara terbuka bersuara pada April 2021 terhadap salah seorang gurunya kerana didakwa membuat jenaka rogol di dalam kelas.

Ain kemudiannya dihujani dengan saman dan ugutan termasuk ancaman rogol daripada rakan sekelas, yang kemudiannya meminta maaf.

“Tidak akan ada lagi kes Ain Husniza pada zaman saya,” katanya.

KPM katanya memang memandang serius perkara ini dan sebab itu jika ada kes yang melibatkan gangguan seksual, ia mesti melalui proses terus kepada pihak berkuasa.

“Kami juga tidak mahu membenarkan sebarang ruang untuk aduan menjadi proses yang panjang.

“Jika ada aduan kita selesaikan aduan, jika ada laporan polis kita serahkan kepada polis,” katanya lagi.- Media Perpaduan.