Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Walaupun banyak persoalan dibangkitkan berhubung kemenangan tanpa bertanding yang didakwa boleh melemahkan sistem demokrasi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan perkembangan itu sebagai cerminan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran gabungan itu.

Beliau berkata, perkara paling penting dalam proses demokrasi ialah memberikan mandat kepada rakyat menentukan kerajaan yang akan mentadbir negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Maknanya daripada proses demokrasi, satu-satu ialah memberi mandat kepada rakyat. terpulang kepada rakyat, untuk memberikan keyakinan kepada pihak parti yang menguruskan negeri ini.

“Alhamdullillah nampaknya majoriti hendakkan pembangunan yang diusahakan khasnya di Sarawak kerana ada dasar Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Dengan kestabilan ini, sudah tentu ia dapat menarik minat pelabur orang luar dan juga rakyat Sarawak sendiri untuk meningkatkan ekonomi dan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon bagi PRN Sarawak ke-13, hari ini, yang menyaksikan Premier Sarawak itu diumumkan menang tanpa bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong.

Dalam perkembangan sama, Abang Jo turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak meletakkan calon di Sarawak.

“Ini mencerminkan kebersamaan antara kerajaan Persekutuan dan negeri. Mudah-mudahan seluruh rakyat Malaysia akan mempunyai perpaduan yang erat serta kestabilan dalam usaha membangunkan negara ini,” katanya lagi.

Sebelum itu, Abang Jo diumumkan menang tanpa bertanding di kerusi tersebut.

Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jamain Wahab menerusi pengumumannya selepas selesai proses penamaan calon di dun berkenaan.

Pada PRN12, Abang Johari mencatat kemenangan sulungnya di kerusi DUN Gedong selepas meraih 4,310 undi dalam saingan empat penjuru, sekali gus menewaskan tiga calon lain.

Beliau sebelum itu merupakan penyandang kerusi DUN Satok selama lapan penggal sebelum beralih ke Gedong, menggantikan Datuk Mohd Naroden Majais yang sebelum ini mewakili kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memperoleh majoriti selesa dengan 3,607 undi selepas menewaskan Mohamad Sofian Fariz Sharbini daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 703 undi.

Manakala Tomson Ango (Parti Bumi Kenyalang) dengan 157 undi dan Kamal Bujang (Amanah) 94 undi. -Astro Awani