KUALA SELANGOR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat kejadian keracunan makanan melibatkan pelajar di sebuah sekolah di Kuala Langat, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata mengambil maklum berhubung kejadian itu dan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan, bagi mengelakkan keupayaan mereka terganggu bagi menduduki peperiksaan berkenaan.
“Saya difahamkan Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan KKM telah membuat siasatan dan kita akan mendapatkan jawapan apa yang menyebabkan perkara itu berlaku.
“Saya tahu suasana peperiksaan ini anak-anak kita jangan terjejas, sangat malang untuk mereka terpaksa berdepan dengan gejala kesihatan, sementara berdepan dengan peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sekolah Angkat KKM dan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid 2026 Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata menu Ayam Gepuk yang tidak melalui proses cair beku dengan sempurna, dikenal pasti sebagai punca menyebabkan sebilangan pelajar di sebuah sekolah di daerah Kuala Langat, keracunan makanan.
Amirudin dalam kenyataan berkata bagaimanapun tindakan pantas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, telah membolehkan rawatan serta ubat-ubatan disampaikan kepada 11 pelajar.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata KKM telah menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada SK Puncak Alam 3, bagi pelaksanaan projek membabitkan baik pulih surau, naik taraf dewan; pembelian tiga unit Smartboard AI; Pembelian 4 unit penyaman udara serta baik pulih tandas.
Beliau berkata sekolah itu dipilih berikutan kapasiti murid tinggi, sehingga beberapa bilik khas seperti bilik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pendidikan Seni Visual (PSV) dan Sains, terpaksa ditukar fungsi menjadi bilik darjah.
“Dalam pada itu ada juga projek daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menambah 12 bilik darjah…dan sekolah ini juga menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),” katanya. — BERNAMA
