Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dapat melonjakkan produktiviti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta meningkatkan pendapatan rakyat menerusi peralihan daripada pengguna kepada pencipta teknologi tempatan.

Justeru, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata, Kementerian Digital akan melaksanakan pendekatan holistik menerusi teras kesedaran, akses dan penggunaan AI.

“Pembangunan bakat dimulakan melalui inisiatif AI Untuk Rakyat di platform Rakyat Digital yang mana belia berumur 18 hingga 30 tahun berjaya menamatkan enam modul asas, menerima akses percuma aplikasi AI premium selama tiga bulan, termasuk daripada penyedia tempatan seperti YTL AI Labs (ILMUchat).

“Setakat 15 November lalu, sebanyak 17,511 penebusan sudah direkodkan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, malam tadi.

Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai apakah jaminan dan tindakan kerajaan dalam memastikan manfaat daripada ekonomi AI tidak tertumpu kepada syarikat teknologi besar semata-mata, namun turut meningkatkan pendapatan, produktiviti, peluang kepada perusahaan tempatan serta rakyat Malaysia serta indikator khusus untuk memantaunya.

Gobind berkata, menerusi Belanjawan 2027, inisiatif itu diperluas kepada 100,000 belia dengan peruntukan RM30 juta. 

“Selain itu, hab Rakyat Builders menyediakan latihan langsung, bimbingan, kredit perisian dan pengkomputeran awan bagi membantu rakyat membangunkan produk AI sendiri yang kini menghimpunkan 1,449 peserta serta 150 projek tempatan. 

“Program AI Talent Foundry (AITF) turut dilaksanakan bagi mewujudkan 300,000 hingga 500,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam ekonomi AI.

“Melalui Belanjawan 2027 juga, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperuntukkan dana RM30 juta bagi memperkasa 3,000 usahawan kecil dan sederhana serta 1,000 usahawan mikro dengan keupayaan AI termaju, menyasarkan penjanaan produktiviti hasil sehingga dua kali ganda. 

“Seramai 5,000 profesional AI turut akan dilatih dan mendapat persijilan dengan sasaran purata gaji RM5,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Digital bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang memperhalusi pengukuran khusus bagi menilai kadar penggunaan AI oleh PMKS serta impaknya terhadap peningkatan produktiviti, hasil jualan dan pendapatan rakyat.

“Daripada segi tadbir urus, semua pelaksanaan ini dipantau secara bulanan menerusi papan pemuka bersepadu yang membabitkan MDEC, AI Malaysia (selaku penyelaras Pelan Tindakan AI Negara 2030), Jabatan Digital Negara (JDN), GovTech Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan MyDIGITAL Corporation bagi memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada manfaat nyata buat rakyat dan perniagaan tempatan,” katanya. -BH Online