KUALA LUMPUR: Malaysia dianggar memiliki 16.1 juta tan sumber unsur nadir bumi (REE), dengan yang terbesar dikenal pasti di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata jumlah itu masih sumber teragak-agak dan bukan rizab mineral yang disahkan berdaya maju untuk dilombong secara komersial.
Katanya, sumber terukur REE yang dikenal pasti setakat ini berjumlah 274,887 tan pada 2025.
Katanya, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melaksanakan kajian eksplorasi susulan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), dengan tumpuan kepada sumber REE jenis lempung jerapan ion menerusi peruntukan RM1.89 juta bagi meningkatkan tahap keyakinan terhadap anggaran berkenaan.
“Usaha ini diteruskan melalui Projek Penilaian Potensi Sumber REE Fasa 2 di bawah RMKe-13 antara 2026 hingga 2030 dengan peruntukan RM38.49 juta, membabitkan kawasan penilaian seluas 160 kilometer persegi di 10 negeri.
“Sebanyak RM9 juta diperuntukkan bagi penilaian kawasan seluas 30 kilometer persedi di enam negeri tahun ini, manakala sasaran keluasan kawasan penilaian ini sudah dicapai sepenuhnya sehingga Oktober lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) dan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Salamiah meminta penjelasan mengenai pelan pembangunan sumber REE negara secara terkawal dan mampan.
Ku Abd Rahman meminta penjelasan mengenai status dan kemajuan pembangunan REE, khususnya di peringkat huluan membabitkan eksplorasi, perlombongan dan perahan di Kedah, Perak, Terengganu serta Kelantan.
Arthur berkata, pembangunan industri REE di peringkat huluan perlu bergerak seiring pembangunan industri pertengahan dan hiliran.
Katanya, ia bagi membolehkan Malaysia bukan sekadar menjadi pembekal bahan mentah, malah menguasai teknologi, membangunkan kepakaran serta menghasilkan produk bernilai tambah tinggi.
Antara usaha dilaksanakan ialah kerjasama strategik Malaco Mining Sdn Bhd dan Carester SAS dari Perancis menerusi memorandum persefahaman yang dimeterai pada 4 Julai 2025.
Ia bagi membangunkan loji pemisahan REE di Perak dengan kapasiti pemprosesan dicadangkan sebanyak 13,000 tan setahun.
Selain itu, Lynas Rare Earths Ltd menjalinkan kerjasama jangka panjang bernilai RM1 bilion dengan JS Link Inc dari Korea Selatan pada 7 Julai lalu bagi membangunkan kilang pembuatan magnet kekal di Kuantan, Pahang.
Projek itu mempunyai kapasiti pengeluaran dirancang sebanyak 3,000 tan setahun dan berpotensi mewujudkan sehingga 700 peluang pekerjaan baharu.
Mengenai kaedah perlombongan, Arthur berkata, kaedah larut resap setempat (ISL) digunakan bagi projek di Mukim Kenering, Perak, yang membolehkan pengekstrakan REE dilakukan tanpa pengorekan tanah secara besar-besaran.
Pelaksanaannya tertakluk kepada prosedur operasi standard perlombongan REE, Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta perundangan mineral negeri.
Katanya, JMG, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa negeri turut menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan, khususnya terhadap penggunaan bahan kimia, kualiti air permukaan dan air bawah tanah, pelepasan efluen serta pengurusan sisa perlombongan.
“Kerajaan juga mengekalkan pendirian tidak membenarkan aktiviti perlombongan REE di hutan simpanan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan ditetapkan.
“Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) sedang melaksanakan kajian impak perlombongan REE terhadap ekosistem hutan.
“Kajian itu bertujuan memperkukuh asas saintifik dalam penilaian risiko alam sekitar serta penambahbaikan dasar dan mekanisme kawal selia,” katanya. – BH Online
