Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kecurian kabel dikenal pasti antara punca menyebabkan 450 lampu jalan tidak berfungsi daripada keseluruhan 1,518 di laluan Persekutuan FT29 serta FT30 yang menghubungkan akses keluar masuk ke Putrajaya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerosakan lampu berkenaan turut dipengaruhi faktor jangka hayat serta insiden kemalangan kenderaan yang melanggar tiang lampu.

Menurut beliau, kecurian kabel merupakan masalah besar yang memerlukan tindakan penguatkuasaan lebih tegas, termasuk terhadap pihak yang membeli kabel curi.

“Kecurian kabel ini masalah besar. Daripada 1,518 jumlah lampu jalan di FT29 dan FT30, 450 tak berfungsi kerana curi kabel.

“Jadi kegiatan curi kabel ini memerlukan penguatkuasaan. Pertamanya kedai besi buruk, mereka membeli. Kalau mereka tak beli, tak ada orang nak jual dan curi kabel.

“Oleh itu, kedua-dua perkara ini iaitu pencuri kabel dan pembeli kabel yang dicuri itu perlu diambil tindakan,” jelas Ahmad Maslan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berhubung statistik kes kerosakan lampu jalan akibat kecurian kabel khususnya di laluan FT29 dan FT30.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Kementerian Kerja Raya telah menyalurkan peruntukan RM840,000 pada 2025 bagi kerja penyelenggaraan lampu jalan di laluan berkenaan, membabitkan tujuh skop kerja yang telah disiapkan.

Bagaimanapun, permohonan peruntukan RM780,000 bagi membaik pulih kerosakan lampu jalan di FT29 dan FT30 susulan insiden kecurian kabel yang dikemukakan pada Mac 2026 telah disusun semula untuk fasa pelaksanaan seterusnya, berdasarkan keutamaan peruntukan. -Astro Awani