Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perancis komited untuk membantu Malaysia membina keupayaan pertahanan sendiri, sekali gus memastikan negara berupaya mencorak hala tuju keselamatan dan mempertahankan kepentingan tanpa perlu terus bergantung kepada kuasa asing.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata komitmen itu direalisasikan melalui Pelan Hala Tuju Keupayaan Pertahanan Dua Hala dan Perkongsian Industri Pertahanan yang dimeterai bersempena lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke negara ini, baru-baru ini.

Menurutnya, jalinan kerjasama strategik itu memberi fokus utama kepada kelangsungan industri pertahanan tempatan yang merangkumi aspek pemindahan teknologi, peningkatan kepakaran teknikal serta pemerkasaan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Sebagai sebuah negara berdaulat, kita tidak boleh terus bergantung kepada negara luar untuk mendapatkan kelengkapan dan bekalan peralatan pertahanan.

“Kita perlu membina kedaulatan atau keupayaan kita sendiri.

“Menerusi perjanjian ini, Perancis menyatakan kesediaan mereka untuk membantu kita mencapai matlamat (keupayaan pertahanan sendiri) ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Integriti Peringkat Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Mengenai impak ekonomi daripada kerjasama itu, Mohamed Khaled berkata, setiap perolehan aset pertahanan dari Paris akan diterjemahkan kepada bentuk manfaat yang lebih besar buat pemain industri tempatan. 

Katanya, ia termasuk mengangkat syarikat Malaysia sebagai pembekal komponen dan rakan industri yang sah.

Beliau memberikan contoh cadangan perolehan 36 unit meriam ringan 105 milimeter (mm) yang dianggarkan bernilai lebih RM600 juta, di mana syarikat tempatan sedang dikenal pasti untuk terbabit secara langsung dalam rantaian pembekalan komponen sistem persenjataan terbabit.

Katanya, turut memacu pemodenan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah pengeluaran surat niat (LOI) oleh kerajaan bagi cadangan perolehan empat buah helikopter berkeupayaan Mencari dan Menyelamat Tempur (CSAR) yang dianggarkan bernilai RM1.3 bilion.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kuala Lumpur dan Paris turut merintis usaha membangunkan Pusat Kecemerlangan bagi menangani ancaman peperangan hibrid menerusi inisiatif dinamakan RC-SHIELD.

Katanya, pusat itu adalah persediaan masa hadapan negara bagi menangkis ancaman berbentuk baharu seperti serangan dron, ancaman siber, manipulasi maklumat dan peperangan kognitif (cognitive warfare).

“Lebih membanggakan, pusat ini berpotensi diangkat sebagai platform latihan dan pembangunan keupayaan untuk negara ASEAN. 

“Perancis juga menyatakan kesediaan untuk membawa masuk kepakaran mereka bagi merealisasikan inisiatif ini.

“Rundingan lanjut berhubung pelaksanaan pusat ini akan digerakkan segera susulan pemeteraian LOI berkenaan supaya ia dapat direalisasikan secepat mungkin,” katanya.

Secara keseluruhan, pemeteraian kerjasama Kuala Lumpur-Paris ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pembangunan industri pertahanan dan aset ATM, malah bakal mengukuhkan protokol keselamatan pertukaran maklumat terkelas antara kedua-dua negara.-BH Online