AYER KEROH: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka bagi membentuk barisan pentadbiran baharu negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Sabtu lalu.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia berlangsung di Dewan Utama Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, di Seri Negeri, di sini hari ini.
Mendahului senarai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, diikuti ADUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; ADUN Telok Mas, Datuk Abd Razak Abd Rahman dan ADUN Asahan, Datuk Dr Fairul Nizam Roslan.
Turut mengangkat sumpah jawatan, ADUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; ADUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong; ADUN Gadek, S Nadarajah dan ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Selain itu, ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar dan ADUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Sarif.
Istiadat berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam itu melengkapkan pembentukan barisan pentadbiran negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh.
Pelantikan itu menyaksikan lima penyandang EXCO dikekalkan iaitu Dr Muhamad Akmal, Rais, Abd Razak, Fairul Nizam dan Hameed Mytheen, diikuti empat muka baharu iaitu Mohd Ridhwan, Nadarajah, Khaidirah dan Muhammad Ridzuan manakala satu lagi kembali menjawat jawatan berkenaan iaitu Ban Hong.
Pembentukan barisan EXCO itu juga menjadi langkah penting bagi merealisasikan 113 inisiatif yang digariskan dalam manifesto BN-PN, selain memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara tersusun.
Pada PRN Melaka ke-16, Sabtu lalu, BN-PN memenangi 24 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh empat kerusi.
Ab Rauf kemudian mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua pada Ahad lalu. -BH Online
