KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menyalurkan bantuan kewangan sekali bayar sebanyak RM120,000 kepada atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin yang tangan kanannya terpaksa dipotong susulan kemalangan jalan raya, malam Isnin lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, bantuan itu disalurkan menerusi perlindungan insurans kelompok di bawah MSN bagi membantu meringankan beban atlet berkenaan yang selesai menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas melawat Hafizuddin, yang mesra disapa Udin, di HKL hari ini dan memaklumkan atlet itu kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan selama kira-kira 10 jam.
“Alhamdulillah, pembedahan berjalan dengan baik dan lancar. Beliau kini dalam keadaan stabil, sedar sepenuhnya, masih bersemangat, boleh tersenyum dan ceria,” kata Taufiq.
Selain bantuan MSN, Taufiq berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut menyalurkan bayaran sekali gus RM39,000 menerusi skim Lindung 24 Jam, selain bayaran bulanan melebihi RM900 sepanjang hayat.
Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui MSN turut menanggung kos makan, minum serta penginapan keluarga Hafizuddin sepanjang berada di Kuala Lumpur, selain akan membantu merancang kesinambungan kerjaya atlet itu selepas tidak lagi dapat meneruskan karier dalam sukan angkat berat.
“Kita tidak akan meninggalkan beliau begitu sahaja. Walaupun tidak lagi dapat meneruskan karier sebagai atlet angkat berat, kita akan membimbing beliau untuk merancang kerjaya pada masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Taufiq berkata KBS melalui MSN akan memperkasakan garis panduan sedia ada berkaitan kebajikan dan keselamatan atlet, termasuk pemantauan pergerakan serta aktiviti mereka di luar waktu latihan.
Mengulas cadangan melarang atlet negara menunggang motosikal atau mengubah peraturan waktu keluar masuk (curfew), beliau berkata perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut bersama MSN sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Kita perlu berbincang dengan lebih mendalam bersama MSN. Sekiranya ada larangan baharu, garis panduan yang jelas perlu diberikan supaya mudah difahami semua atlet,” tambahnya.
Hafizuddin sebelum ini dilaporkan terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika dalam perjalanan dari Ampang ke Bukit Jalil kira-kira jam 11 malam, kelmarin.
Atlet kelahiran Perlis itu adalah pemenang pingat emas kategori 88 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345kg. -BH Online
