SHENZHEN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan gesaan untuk hubungan pelbagai hala yang tulen, perkongsian teknologi yang saksama dan tumpuan terhadap pembangunan berteraskan insan pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026.
Perdana Menteri menggesa pemimpin dunia dan komuniti perniagaan antarabangsa supaya memastikan kemajuan ekonomi tidak meminggirkan negara membangun.
Menegaskan keperluan mewujudkan struktur ekonomi global yang lebih adil, beliau berkata, kerjasama global sebenar tidak boleh dilaksanakan secara sebelah pihak.
“Kita mesti menghormati peraturan pelbagai hala (multilateralisme). Anda tidak boleh, dalam nafas yang sama, mendakwa mempromosikan perdagangan dan pelaburan, tetapi mengehadkannya hanya kepada negara anda sendiri.
“Seluruh rangka kerja multilateralisme mesti berubah, kita sudah memasuki era baharu yang mana negara kecil dan pesat membangun mesti dilayan dengan rasa hormat dan bermaruah,” katanya berucap pada Pusat Konvensyen Antarabangsa Qianhai, di sini, hari ini.
Terdahulu, Presiden China, Xi Jinping membuka Sidang Kemuncak CEO APEC dengan ikrar untuk membuka pasaran negara itu kepada lebih banyak produk dan perkhidmatan dari seluruh dunia, selaras komitmen China terhadap multilateralisme serta kedaulatan undang-undang.
Dalam ucapan pembukaannya, Jinping berkata, China bukan sahaja akan mengurangkan tarif dan memperluas akses pasaran kepada pengeluar global, malah akan memperbaharui peraturan, undang-undang dan piawaian bagi memudahkan kemasukan ke pasaran yang mempunyai 1.4 bilion penduduk itu.
Memposisikan Malaysia sebagai negara perdagangan utama yang berjaya menguruskan peningkatan pelaburan dari Amerika Syarikat (AS) dan China, Anwar memuji kepemimpinan Beijing kerana membuka pasarannya kepada dunia.
Beliau berkata, suasana geopolitik semasa menuntut negara maju melangkaui sekadar menawarkan akses pasaran, sebaliknya turut berkongsi pengalaman dan pencapaian teknologi, khususnya dalam sektor strategik seperti semikonduktor serta kecerdasan buatan (AI), dengan negara membangun.
Perdana Menteri mengingatkan pemimpin korporat bahawa negara sedang membangun, yang sebahagiannya pernah dijajah puluhan tahun penjajahan dan penindasan, memerlukan pelaburan bagi menghidupkan semula ekonomi masing-masing.
Beliau turut menegaskan kepentingan prinsip pemusatan ASEAN, sambil menyatakan negara kuasa besar tidak boleh memaksa keadaan dan kepentingan khusus mereka ke atas negara lebih kecil.
Sebaliknya, katanya, perdagangan dan pelaburan perlu diselaraskan dengan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh, bukannya sekadar memenuhi kepentingan geopolitik pihak tertentu.
Menyentuh peranan sektor korporat, Anwar berkata, komuniti perniagaan mempunyai tanggungjawab penting dalam membentuk masa depan rantau Asia Pasifik.
Beliau mencabar CEO melihat melangkaui kejayaan komersial dan keuntungan jangka pendek, sambil mengingatkan bahawa kerjasama yang dibentuk serta teknologi yang dibangunkan turut membawa tanggungjawab sosial yang besar.
Katanya, matlamat utama pelaburan korporat seharusnya memperkukuh ekonomi domestik dan membangunkan modal insan supaya negara sedang pesat membangun dapat meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai global.
“Ukuran sebenar kemajuan ekonomi akhirnya perlu dilihat melalui kehidupan yang berjaya diubah olehnya,” katanya.
Anwar berkata, visi itu penting bagi mewujudkan rantau Asia Pasifik yang membolehkan setiap negara mempunyai kebebasan menentukan hala tuju sendiri.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan usaha mencapai matlamat itu memerlukan keberanian politik yang tinggi dan penolakan terhadap model pertumbuhan yang meningkatkan ketidaksamarataan serta mengabaikan kepentingan masyarakat.
Katanya, ini bagi memastikan kekayaan dan kepakaran rantau ini dapat dikongsi secara adil oleh semua pihak.
Sidang Kemuncak CEO APEC 2026 adalah sebahagian daripada Minggu Pemimpin Ekonomi APEC yang berlangsung di Shenzhen dari 12 hingga 20 November ini.
Lebih 2,000 wakil perniagaan dan politik menghadiri sidang kemuncak itu mewakili 21 ekonomi anggota APEC serta 13 ekonomi bukan anggota APEC. -BH Online

