Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperluas penawaran program pengajian pada peringkat ijazah di politeknik sebagai sebahagian usaha merekayasa landskap pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata langkah itu bertujuan memastikan politeknik tidak lagi dilihat sebagai institusi hanya menawarkan program pada peringkat sijil dan diploma, sebaliknya turut berperanan melahirkan graduan berkelulusan ijazah.

Katanya, ketika ini lima politeknik sudah menawarkan program pengajian pada peringkat ijazah dan usaha berkenaan akan diperluaskan bagi meningkatkan lagi peranan institusi itu dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

“Apa kita nak lihat adalah supaya ‘education spectrum and dimension’, bukan hanya dalam konteks pendidikan di universiti tetapi juga di peringkat politeknik dan sebab itu kita sedang melakukan satu proses perekayasaan.

“Ia untuk melihat semula dalam konteks pendidikan teknikal kita di peringkat politeknik dan juga di peringkat kolej komuniti, supaya ia lebih setaraf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ideatech: Innovation Showcase sempena Festival of Ideas (FOI) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Zambry berkata, usaha memperkasa pendidikan politeknik juga penting bagi menyediakan lebih banyak pilihan laluan pendidikan kepada generasi muda, khususnya dalam bidang berasaskan teknologi dan kemahiran.

Katanya, pembangunan ekosistem pendidikan baik perlu diberi perhatian bagi menggalakkan kreativiti, inovasi serta meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Saya harap platform baharu berkaitan politeknik dapat kita tentukan dengan melihat politeknik bukan hanya sekadar mengeluarkan sijil, tetapi juga seperti yang kelihatan hari ini, ia mengeluarkan diploma dan lebih daripada itu, dalam peringkat ijazah,” katanya. 

Beliau berkata, pendekatan itu juga selari dengan keperluan negara melahirkan generasi yang mempunyai kekuatan berfikir, kreatif dan berupaya menghasilkan inovasi bagi memenuhi keperluan masa hadapan. -BH Online