Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menerima 73,498 permohonan pendaftaran ke Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027, membabitkan kanak-kanak kohort usia enam tahun, setakat 30 September lalu. 

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 491,649 permohonan pendaftaran ke Tahun Satu bagi 2027 termasuk seramai 418,151 kanak-kanak kohort usia tujuh tahun.

Beliau berkata, pihaknya membuat ketetapan untuk memperluas akses kemasukan ke Tahun Satu dengan memberikan pilihan kepada ibu bapa mendaftarkan anak kohort umur enam tahun ke Tahun Satu mulai Kalendar Akademik 2027. 

Beliau berkata, pelaksanaan itu dilaksanakan berdasarkan pilihan ibu bapa, manakala kemasukan kohort usia tujuh tahun kekal sebagai laluan utama sepanjang tempoh peralihan.

“Keutamaan KPM adalah bagi memberikan pilihan kepada ibu bapa berdasarkan kesediaan anak masing-masing, di samping memastikan sistem pendidikan mempunyai keupayaan dan kesiapsiagaan untuk menerima kanak-kanak berusia enam tahun yang memilih untuk memasuki Tahun Satu,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen. 

Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang mahu tahu jumlah murid Tahun Satu berusia 6 tahun yang sudah mendaftar persekolahan. 

Manndzri juga mahu tahu sejauh mana KPM yakin dasar sukarela itu mendapat sambutan luar biasa ibu bapa atau adakah ia sekadar eksperimen tergesa-gesa yang akhirnya bakal membebankan emosi murid serta emosi guru. 

Fadhlina berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan pendaftaran dan kesiapsiagaan setiap sekolah serta melaksanakan penyelarasan masa ke semasa termasuk dalam aspek penempatan murid, keperluan guru, kapasiti bilik darjah dan prasarana.

“Langkah ini memastikan pengoperasian Tahun Satu bagi Kalendar Akademik Tahun 2027 dapat dilaksanakan dengan lancar dan kondusif tanpa menjejaskan akses serta kualiti pendidikan murid,” katanya. -BH Online