Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia meluluskan pelaburan digital bernilai RM812.68 juta dari Perancis bagi tempoh antara 2024 hingga 2026, menjadikan negara itu sumber pelaburan kelima terbesar dari Eropah dalam tempoh itu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata Malaysia mahu memanfaatkan pelaburan itu dengan menggalakkan syarikat Perancis untuk membangunkan serta mengkomersialkan teknologi baharu bersama perniagaan, universiti, dan institusi penyelidikan di Malaysia, selain menjadikan negara ini sebagai pangkalan untuk menembusi pasaran ASEAN yang lebih luas.

“Dalam bidang kecerdasan buatan (AI), kami mengalu-alukan kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan model, aplikasi industri serta penyelesaian AI untuk perniagaan dan kerajaan,” katanya pada Forum Perniagaan Perancis-Malaysia 2026, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Macron, yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama dua hari, diraikan dalam satu majlis sambutan rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, disusuli dengan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gobind berkata, Malaysia turut melihat ruang kerjasama dalam infrastruktur pengkomputeran awan yang dipercayai dan keselamatan siber, serta reka bentuk cip, penyelidikan dan pembangunan, dan teknologi baharu seperti pengkomputeran kuantum.

Katanya, Malaysia mahu syarikat tempatan membangunkan penyelesaian AI sendiri, mewujudkan harta intelek, serta bersaing di pasaran serantau dan global.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) negara menyasarkan ekonomi digital menyumbang 30 peratus kepada keluaran dalam negara kasar menjelang 2030.

Sementara itu, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan lawatan Macron memaklumkan pelaburan yang diluluskan itu membabitkan beberapa syarikat Perancis dan dijangka dapat mewujudkan ratusan peluang pekerjaan bagi pekerja berpengetahuan.

Antara syarikat Perancis yang memegang status Malaysia Digital ialah AXA Group Operations Malaysia, CACEIS Malaysia daripada Crédit Agricole Group, Sanofi-Aventis (Malaysia), Orange Business Services Malaysia, Schneider Electric IT Malaysia dan CMA CGM Group.

Menurut MDEC, beberapa syarikat sedang meneroka peluang untuk memperluas kehadiran mereka di Malaysia, termasuk menjadikan negara ini sebagai hab teknologi dan penyampaian bagi rantau Asia Pasifik, dengan perancangan pengembangan dalam bidang agentic AI, keselamatan siber, dan automasi.

Agensi itu hari ini mengadakan sesi perangkaian bersama perniagaan dan syarikat teknologi dari Perancis bagi membincangkan peluang pelaburan serta bagaimana mereka boleh memanfaatkan Malaysia sebagai pangkalan untuk berkembang ke rantau ASEAN.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Azlan Sharom, berkata Malaysia menawarkan prospek yang menarik bagi syarikat Perancis untuk menubuh serta mengembangkan operasi serantau mereka, disokong oleh infrastruktur digital negara, kemudahan pelaburan dan akses ke pasaran ASEAN.

“Malaysia menawarkan peluang kepada syarikat teknologi Perancis untuk menempatkan kehadiran pasaran, sambil memanfaatkan negara ini sebagai pangkalan serantau bagi membangun keupayaan teknologi, menyediakan perkhidmatan, dan berkembang ke rantau ASEAN.

“Melalui pendekatan Malaysia Digital, MDEC komited menyokong pelaburan syarikat Perancis dengan menghubungkan mereka kepada rakan kongsi tempatan, perniagaan, serta bakat yang bersesuaian disamping memupuk kerjasama jangka panjang yang memacu pelaburan berimpak tinggi, memperkukuh keupayaan tempatan, dan menggalakkan pertumbuhan perniagaan yang mampan,” katanya.

MDEC memaklumkan agensi itu akan terus bekerjasama dengan Business France, CCI France Malaysia dan La French Tech Malaysia bagi memudahkan urusan pelaburan serta penyertaan lebih luas syarikat teknologi Perancis dalam ekonomi digital Malaysia. – BERNAMA