KUALA LUMPUR: Kadar cukai perkhidmatan bagi pusat jagaan warga emas berdaftar dikurangkan daripada lapan kepada enam peratus berkuat kuasa 1 Jan 2027, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerajaan turut memberi pengecualian penuh cukai perkhidmatan bagi yuran penjagaan hingga RM96,000 setahun tertakluk kepada skop serta syarat ditetapkan bagi meringankan beban kewangan keluarga terbabit.
“Melalui pengecualian cukai ini, keluarga yang membayar yuran jagaan hingga RM8,000 sebulan tidak perlu menanggung cukai perkhidmatan tertakluk kepada syarat ditetapkan.
“Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos penjagaan malah berpotensi meningkatkan kemampuan keluarga untuk mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan ibu bapa mereka,” katanya pada sesi soal jawab lisan hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai perkembangan kajian semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap pusat jagaan warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU), selain bentuk sokongan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang tidak berasaskan keuntungan.
Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi mengemukakan syor penambahbaikan SST ke atas pusat jagaan berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Bagi menyokong pengoperasian PSK yang mengendalikan pusat jagaan warga emas dan OKU, beliau berkata kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kewangan merangkumi geran pentadbiran, geran rangsum serta geran pembaikan premis.
Selain sokongan kewangan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menawarkan khidmat nasihat pengurusan, panduan pematuhan piawaian penjagaan dan keselamatan serta pemantauan operasi secara berterusan.
Mengenai kebajikan petugas Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Nancy memaklumkan kadar elaun sagu hati penyelia telah dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan, manakala bagi petugas dinaikkan daripada RM800 kepada RM1,200 sejak Januari 2021.
Beliau berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM140 juta bagi pelaksanaan program PDK pada 2025 yang beroperasi lima hari seminggu merangkumi empat hari di pusat dan satu hari sesi lawatan ke rumah.
Katanya, kadar sagu hati diterima petugas dan penyelia PDK ketika ini masih melebihi kadar gaji minimum RM8.72 sejam berdasarkan tempoh waktu operasi pusat berkenaan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) berhubung pelan jangka panjang meningkatkan kapasiti pusat jagaan warga emas, Nancy berkata kementerian menyasarkan melatih 2,000 penjaga tahun ini sebelum ditingkatkan kepada 50,000 orang menjelang 2030.
Beliau berkata sasaran itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh ekonomi penjagaan menerusi peningkatan kemahiran dan kompetensi petugas serta membuka peluang kepada orang awam untuk menyertai program latihan penjagaan.– BERNAMA
