PUTRAJAYA, 17 November – Malaysia perlu berani melangkah daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada negara yang mampu mencipta, mereka bentuk dan memiliki teknologi sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, perkembangan pesat teknologi dunia termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum dan semikonduktor menuntut Malaysia memperkukuh keupayaan inovasi serta kepakaran anak tempatan.
Perkara itu disampaikan beliau menerusi ucaptama sempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, setiap perubahan besar bermula daripada kekuatan pemikiran manusia dan Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada teknologi yang dibangunkan oleh negara lain.
Beliau menegaskan Malaysia mesti berani beralih daripada pendekatan Made in Malaysia kepada Made by Malaysia, iaitu menghasilkan teknologi yang bukan sahaja dibangunkan di negara ini, malah dicipta, direka bentuk dan dimiliki oleh rakyat Malaysia sendiri.
Katanya, aspirasi itu perlu digerakkan secara bersama bagi memastikan lebih banyak idea dan penyelesaian baharu lahir daripada kepakaran anak tempatan, sekali gus memberikan nilai tambah kepada ekonomi negara serta manfaat kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai mengunjungi Festival Idea Putrajaya 2026 di PICC bagi mendapatkan inspirasi, menimba ilmu serta meneroka perkembangan idea dan inovasi baharu.
Festival berkenaan diharap menjadi platform untuk menyemarakkan budaya inovasi dan pemikiran kreatif, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam menghadapi landskap teknologi global. – Media Perpaduan
