Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

LUMUT: Operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak terjejas, meskipun Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kini berdepan tuduhan di mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu membabitkan Mohd Shuhaily tidak boleh mengakibatkan keseluruhan organisasi terhenti daripada menjalankan tanggungjawab sepatutnya.

Malah, katanya disebabkan situasi itu pengalaman belum pernah dilalui sebelum ini, beliau sudah meminta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman memberikan tumpuan khusus dalam menghadapi keadaan sekarang.

“Saya beri jaminan operasi AKPS tidak terjejas kerana agensi ini penting dalam mengawal dan melindungi sempadan negara. Jadi tak boleh kerana disebabkan Ketua Pengarahnya maka seluruh organisasi itu terhenti.

“Saya bersyukur kerana setakat laporan lapangan diterima operasi AKPS tidak terganggu sama sekali, bahkan mereka terus berjaya menyekat beberapa percubaan termasuk kes satu pasangan yang membawa wang tunai dalam jumlah besar ke Singapura, baru-baru ini,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Kampung Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada AKPS akan menerima pengarah baharu dalam waktu terdekat, Saifuddin Nasution berkata setakat ini belum sampai ke tahap itu.

“Bagi selesai satu-satu dahulu…. kalau ia membabitkan perbicaraan mahkamah, kita biarkan mengikut proses undang-undang berlaku,” katanya.

Pada 29 Oktober lalu, Saifuddin Nasution mengumumkan KDN memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menamatkan penempatan secara pinjaman di AKPS.

Bagaimanapun, peguam mewakili Mohd Shuhaily, Muhammad Rafique Rashid Ali dilapor berkata, Mohd Shuhaily masih bertugas sebagai Ketua Pengarah AKPS kerana belum menerima surat atau arahan rasmi berhubung keputusan mengembalikannya ke PDRM. -BH Online