KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan, mempersoalkan dasar serta terbabit dalam dialog terbuka bersama kepimpinan negara.
Perdana Menteri berkata, latihan khidmat negara tidak seharusnya terhad kepada aktiviti fizikal dan pembentukan disiplin semata-mata, sebaliknya perlu memberi ruang kepada golongan muda membina pemikiran kritis serta keyakinan dalam melontarkan pendapat.
Anwar berkata, golongan muda wajar digalakkan menyuarakan pendapat mereka, termasuk pandangan yang mungkin kurang menyenangkan untuk didengari kerajaan.
“Ada pandangan yang saya setuju dan ada juga yang saya tidak bersetuju. Sesetengah pandangan itu mungkin agak tidak selesa (didengar), namun ini adalah peluang untuk anak muda menzahirkan pandangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara PLKN 3.0 di Kem Rejimen 515, Askar Wataniah di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau mengingatkan kementerian terbabit dalam pelaksanaan PLKN, termasuk Kementerian Pertahanan, supaya memastikan pelatih diberi ruang untuk bersuara secara terbuka.
“Memang ada latihan dan aktiviti lain, tetapi mesti ada ruang untuk mereka menyuarakan pandangan.
“Kita perlu mendengar, berinteraksi dengan mereka dan memberi maklum balas dengan sewajarnya. Tidak semestinya semua pandangan mereka betul, tetapi itu juga tidak bermakna semua pandangan golongan berusia itu betul,” katanya.
Menurut Anwar, golongan muda perlu dibimbing dengan penuh hikmah dan kefahaman, bukannya dihalang daripada mempersoalkan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Anwar turut mengimbas pembabitannya dalam aktivis mahasiswa suatu ketika dahulu, sambil menegaskan sebarang demonstrasi perlu didorong oleh isu sebenar serta kefahaman mendalam terhadap perjuangan yang dibawa.
Katanya, pembabitan beliau dalam demonstrasi ketika zaman mahasiswa dahulu didorong oleh keprihatinan terhadap isu kemiskinan serta kurangnya perhatian diberikan kepada golongan miskin.
“Anak muda mesti membina keupayaan untuk membezakan antara kebenaran dengan kepalsuan serta membuat keputusan berteraskan ilmu.
“Penguasaan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), juga mesti bergerak seiring dengan nilai moral dan integriti yang kukuh,” katanya.
Anwar turut menegaskan PLKN perlu memupuk nilai integriti, sikap saling menghormati, perpaduan nasional serta penolakan terhadap rasuah.
Beliau memberi amaran bahawa sesebuah negara boleh merosot apabila rasuah, sikap angkuh dan sentimen perkauman sempit mula berakar umbi.
“Masa depan Malaysia bergantung kepada generasi yang memiliki kedua-dua elemen iaitu ilmu dan kebijaksanaan, di samping menghormati masyarakat berbilang agama serta latar belakang,” katanya.
Program berkenaan membabitkan seramai 236 pelatih wanita PLKN 3.0 Siri 4/2026 di Kem 515.
Selain itu, seramai 1,663 pelatih lagi dari tujuh kem PLKN lain turut menyertai sesi berkenaan secara maya, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan seramai 1,899 orang. -BH Online

