MANILA: Malaysia menggesa ASEAN dan China memperbaharui iltizam politik serta mempergiat usaha untuk memuktamadkan draf Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata rundingan berhubung perkara berkenaan sedang giat dilaksanakan tahun ini, dengan sesi rundingan diadakan setiap bulan.
Bagaimanapun, beliau berkata beberapa isu utama termasuk sifat dan skop geografi kod berkenaan masih belum diselesaikan dan memerlukan perhatian segera.
Beliau berkata, Malaysia yang mempengerusikan bersama rundingan itu sejak 2024 bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN lain serta China bagi memastikan rundingan menjurus kepada pembentukan COC yang berkesan dan substantif dalam tempoh sasaran tiga tahun yang dipersetujui pada 2023.
“Saya menggesa kita semua menggandakan usaha bersama untuk memuktamadkan draf COC secepat mungkin. Pembaharuan iltizam politik amat penting bagi mencapai matlamat ini, khususnya pada peringkat akhir yang kritikal ini,” katanya ketika menyampaikan pandangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini hari ini.
ASEAN dan China menyasarkan untuk memuktamadkan rundingan COC di Laut China Selatan menjelang akhir tahun ini.
Mengenai Myanmar, Mohamad berkata krisis di negara itu kekal sebagai antara cabaran paling mendesak terhadap perpaduan dan kredibiliti ASEAN.
Beliau menggesa supaya objektif jelas dan kemajuan yang boleh diukur ditetapkan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC), yang kekal menjadi rujukan utama ASEAN dalam menangani krisis Myanmar.
“Kita terus menekankan keperluan menetapkan objektif yang jelas dan kemajuan yang boleh diukur dalam pelaksanana 5PC,” katanya.
Mohamad berkata, pegawai kanan ASEAN sedang membincangkan cadangan berdasarkan mandat yang diberikan oleh pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 pada Mei lalu.
Dua cadangan itu ialah Kertas Tidak Rasmi Mengenai Terma Rujukan Cadangan Utusan Khas ASEAN ke Myanmar dan Kertas Tidak Rasmi Mengenai Elemen ASEAN bagi Menilai Kemajuan di Myanmar. -BH Online
