DOHA: Malaysia menegaskan kepentingan merapatkan jurang digital bagi memastikan semua lapisan masyarakat berpeluang menyertai serta menikmati manfaat ekonomi digital, seiring perkembangan pesat teknologi dan transformasi digital global.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha itu perlu berteraskan tiga keutamaan utama iaitu kesalinghubungan bermakna, keterangkuman digital serta pembentukan persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.
Beliau berkata demikian ketika menyambut baik draf Deklarasi Menteri Doha yang diedarkan untuk pertimbangan negara anggota, sambil menyifatkannya sebagai hala tuju bersama dalam menangani peluang dan cabaran transformasi digital ke arah masa depan yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan.
Menurut Fahmi, kesalinghubungan bermakna tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan liputan rangkaian, sebaliknya perlu merangkumi akses yang mampu milik, boleh diharapkan dan berdaya tahan bagi menyokong komuniti, perkhidmatan penting serta aktiviti ekonomi.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik penekanan deklarasi berkenaan terhadap pembangunan infrastruktur digital yang berdaya tahan dan mampan, khususnya bagi memastikan kesinambungan komunikasi penting ketika berdepan kecemasan serta gangguan perkhidmatan.
“Deklarasi ini mencerminkan tiga keutamaan penting yang turut menjadi teras agenda digital negara, iaitu memastikan kesalinghubungan bermakna, menggalakkan keterangkuman digital serta mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.
“Paling penting, ia mengingatkan kita tentang keperluan merapatkan jurang digital dan memastikan setiap orang berpeluang menyertai serta mendapat manfaat daripada ekonomi digital,” katanya.
Beliau menyampaikan kenyataan itu pada Sidang Meja Bulat Menteri sempena Persidangan Plenipotensi Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha, Qatar, Ahad lalu.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan perlu terus melabur dalam pembangunan kemahiran digital, peningkatan kapasiti dan sokongan terhadap inovasi bagi memastikan lebih ramai rakyat, tanpa mengira lokasi atau tahap kesediaan digital, dapat memanfaatkan peluang ekonomi digital.
Fahmi turut menegaskan bahawa perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu perlu disertai usaha memastikan negara membangun serta komuniti yang kurang mendapat akses tidak ketinggalan, malah berpeluang bukan sahaja menggunakan teknologi berkenaan, tetapi turut terlibat dalam membentuk dan menikmati manfaat daripadanya.
Mengulas aspek keselamatan digital, Fahmi berkata kepercayaan dan keselamatan merupakan elemen penting bagi membolehkan masyarakat mengambil bahagian dalam ekonomi digital dengan yakin.
Katanya, deklarasi itu turut memberi penekanan terhadap keselamatan siber, perlindungan kanak-kanak dalam talian serta pembangunan dan penggunaan teknologi baharu secara bertanggungjawab.
Beliau menambah, inovasi perlu bergerak seiring dengan langkah perlindungan yang sewajarnya bagi memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan teknologi digital.
Malaysia turut mengalu-alukan penekanan terhadap kerjasama antarabangsa dalam deklarasi berkenaan, selain mengiktiraf peranan penting Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dalam memperluas kesalinghubungan, membangunkan piawaian teknikal dan meningkatkan kapasiti negara anggota.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan ITU serta negara anggota lain bagi memastikan masa depan digital bukan sahaja lebih terhubung dan inklusif, malah lebih selamat serta saksama untuk semua. -BH Online
