ISTANBUL: Hubungan strategik Malaysia-Turkiye perlu melangkaui kerjasama tradisional dan diterjemahkan kepada inisiatif lebih jitu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu disentuh dalam pertemuan selama 30 minit dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan di luar Forum Dunia TRT 2026 di sini, semalam.
Tegas Ahmad Zahid, pertemuan itu turut menyaksikan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai keperluan memperluas hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara, khususnya meningkatkan nilai perdagangan dua hala daripada AS$5.6 bilion pada 2025 kepada AS$10 bilion menjelang 2030.
“Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi yang mengadakan mesyuarat pertamanya di Ankara pada Januari lalu adalah mekanisme penting bagi menyelaraskan keutamaan.
“Ia juga mempercepat pelaksanaan kerjasama strategik Malaysia-Turkiye, selaras Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid turut menggariskan beberapa bidang berpotensi untuk kerjasama termasuk pelaburan, industri pertahanan, pemindahan teknologi, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), industri halal dan pengurusan bencana.
Katanya, hubungan strategik itu perlu diterjemah kepada inisiatif yang mampu membuka peluang pelaburan, memperkukuh kapasiti industri, memperluas pemindahan kepakaran serta meningkatkan daya saing ekonomi kedua-dua negara.
Mengenai hubungan ASEAN-Turkiye, Ahmad Zahid menegaskan komitmen Malaysia selaku penyelaras negara untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak dengan memberi tumpuan kepada peluasan perdagangan, kerjasama teknologi dan pembangunan modal insan.
“Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan diplomasi yang konstruktif, berprinsip dan berteraskan kepentingan negara, selain meningkatkan kerjasama dengan rakan antarabangsa.
“Penyertaan dalam forum antarabangsa seperti itu memberi ruang kepada Malaysia untuk berkongsi pandangan, menyuarakan pendirian negara serta memperkukuh jaringan hubungan dengan pemimpin dan penggubal dasar antarabangsa.
“Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan diplomatik yang konstruktif, berprinsip dan berpaksikan kepentingan negara, selain memperkukuh kerjasama dengan rakan antarabangsa bagi menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama,” katanya.
Ahmad Zahid berada di Turkiye bagi lawatan kerja empat hari atas jemputan Forum Dunia TRT 2026.
Beliau turut menyertai sesi panel bertajuk Türkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor. -BH Online
