Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-13 (PRN13), manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Disember depan. 

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata hari pengundian awal pula ditetapkan pada 8 Disember, manakala writ pilihan raya dikeluarkan hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas SPR mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan pelaksanaan PRN-13 susulan pembubaran DUN Sarawak ke-19 pada 26 Oktober lalu.

Katanya, suruhanjaya itu menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak berhubung pengisytiharan pembubaran berkenaan sebelum memutuskan pelaksanaan pilihan raya bagi mengisi kekosongan 82 kerusi DUN.

“Urusan permohonan semua kategori undi pos sama ada dalam atau luar negara sudah dibuka sejak 26 Oktober lalu,” katanya ketika mengumumkan tarikh penting pilihan raya itu di sini, hari ini.

Bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya, SPR melantik 82 pegawai pengurus pilihan raya yang akan dibantu 305 penolong pegawai pengurus di seluruh Sarawak. 

SPR turut menubuhkan 82 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, dengan keanggotaan membabitkan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan serta wakil calon bertanding. 

Ramlan berkata, daftar pemilih yang akan digunakan adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan (DPT) September 2026 yang dikemas kini sehingga 25 Oktober lalu.

Daftar berkenaan mengandungi keseluruhan 2,058,781 pemilih terdiri 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera serta pasangan dan 10,833 anggota polis, Polis Gerakan Am (PGA) serta pasangan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan secara rasmi pada 26 Oktober lalu sekali gus memberi laluan kepada PRN13.

Pengumuman pembubaran itu dibuat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 23 Oktober setelah mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri, PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran berkenaan

Mandat semasa DUN Sarawak yang ketika ini mempunyai 82 kerusi, berakhir pada Februari 2027.

Pada PRN ke-12 yang diadakan 18 Disember 2021, GPS mendapat mandat selepas memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP (dua).

Bagaimanapun, dinamik politik negeri menyaksikan perubahan selepas PSB dibubarkan pada 2024, yang membawa kepada penyertaan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu ke dalam Parti Demokratik Progresif (PDP), iaitu satu daripada komponen GPS.

Seorang lagi bekas ADUN PSB, See Chee How yang mewakili Batu Lintang, keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP. -BH Online