KUALA LUMPUR, 6 November – UMNO mengumumkan Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu telah mencapai sasaran kutipan dan mencukupi bagi tujuan membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihak parti telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi ini.
Sehubungan itu, UMNO secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan bagi menerima sumbangan daripada ahli parti dan orang ramai.
Beliau berkata, dengan pencapaian sasaran kutipan tersebut, tiada lagi keperluan untuk meneruskan usaha pendanaan awam (crowdfunding) bagi tujuan berkenaan.
Dalam pada itu, UMNO turut merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT serta penghargaan kepada seluruh ahli UMNO di setiap peringkat dan orang ramai yang tidak putus-putus memberikan sumbangan sejak tabung berkenaan dilancarkan.
Penghargaan itu dizahirkan sebagai tanda terima kasih atas sokongan dan solidariti yang diberikan sepanjang usaha mengumpulkan dana berkenaan.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi kenyataan media rasmi Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bertarikh 6 November 2026. – Media Perpaduan
