KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani isu mafia korporat di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan bagaimanapun berpandangan perkara berkenaan harus dilihat berdasarkan kewajaran untuk melanjutkan siasatan, termasuk mengenal pasti skop yang benar-benar perlu diteliti.
Beliau berkata, kerajaan tidak menolak keperluan itu sekiranya terdapat asas dan keperluan jelas untuk suatu siasatan lebih menyeluruh serta fakta kukuh.
“Kerajaan akan terus memastikan sebarang dakwaan yang mempunyai asas, diteliti secara telus.
“Malah, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang mana-mana pihak,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen, malam tadi.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai perkembangan siasatan berhubung mafia korporat serta kesediaan kerajaan menubuhkan RCI bagi menangani isu itu.
Saifuddin Nasution berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman menjalankan Op Viking susulan maklumat dan risikan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram.
“Satu kertas siasatan dibuka pada 14 Oktober 2025 bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“PDRM juga menahan beberapa individu, selain membekukan dan menyita pelbagai aset dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang disiasat,” katanya.
Setakat 25 September lalu, beliau berkata, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan.
“PDRM turut melakukan tindakan pembekuan dan penyitaan membabitkan lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Central Depository System (CDS), 70 akaun dagangan saham berjumlah RM323.59 juta, serta 404 akaun bank berjumlah RM85.62 juta,” katanya.
Pada sidang semalam, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mempersoalkan kegagalankerajaan mendedahkan hasil siasatan awal berhubung kegiatan ‘mafia korporat’ meskipun perkara itu pernah diumumkan pada Februari lalu.
Sebelum ini pada sidang Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan memberi jaminan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak terbabit aktiviti mafia korporat. -BH Online
