KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan semula Program Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) dengan mewujudkan unit khusus untuk menyelaras dan memantau perkhidmatan kesihatan bergerak secara lebih bersepadu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia meliputi perkhidmatan darat, air dan udara dari peringkat Ibu Pejabat KKM, jabatan kesihatan negeri hingga ke peringkat lapangan.
“Mekanisme ini bertujuan memastikan keperluan kontrak sentiasa mengambil kira standard keselamatan; keperluan operasi semasa termasuk aspek penyampaian perkhidmatan; kesesuaian aset, keselamatan operasi; serta kebajikan petugas.
“Pemantauan turut diperkukuhkan melalui semakan berkala terhadap kontrak, keperluan perkhidmatan dan keperluan teknikal penerbangan dengan mendapatkan input daripada agensi serta pihak mempunyai kepakaran berkaitan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) dan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai langkah memperkukuhkan keselamatan operasi helikopter PDU susulan kejadian di Ulu Baram, Sarawak, yang meragut nyawa empat petugas KKM pada September lalu.
Menjelaskan lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pelaksanaan PDU dibuat menerusi kaedah perolehan perkhidmatan secara kontrak dengan syarikat penyedia perkhidmatan penerbangan, dan helikopter yang digunakan bukan aset milik KKM.
“Penentuan kelayakan sesuatu pesawat untuk beroperasi, termasuk aspek kelayakan penerbangan, adalah tertakluk kepada peraturan, standard dan kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Justeru, KKM tidak membuat penentuan kelayakan pesawat berdasarkan faktor usia semata-mata,” katanya.
Dari aspek kontrak pula, beliau berkata, keperluan dan spesifikasi perkhidmatan ditetap berdasarkan keperluan operasi di lapangan, keselamatan serta kesesuaian perkhidmatan.
“Ia mengambil kira input daripada agensi serta pihak yang mempunyai kepakaran teknikal penerbangan,” katanya.
Menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdu Rahman (Bebas-Labuan) berhubung cadangan menggantikan helikopter lama pula, Dr Dzulkefly berkata, penggantian aset tidak dilaksanakan secara langsung memandangkan helikopter itu bukan aset milik KKM.
“Bagaimanapun, KKM sedang menyemak dan memperkukuhkan keperluan serta spesifikasi kontrak PDU.
“Ia bagi memastikan pesawat disediakan penyedia perkhidmatan adalah sesuai dengan keperluan operasi, keselamatan petugas dan pesakit, serta keadaan geografi kawasan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, KKM mengambil langkah segera dengan menangguhkan sementara pengoperasian PDU di Sarawak bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan.
“KKM turut menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menjalankan penilaian dalaman secara menyeluruh terhadap pelaksanaan perkhidmatan PDU.
“Pengoperasian semula PDU di Sarawak hanya akan dipertimbangkan selepas siasatan rasmi oleh pihak berkuasa selesai dan hasil penilaian menyeluruh oleh jawatankuasa bebas diperoleh,” katanya.
Pada 8 September lalu, helikopter BO-105 yang menjalankan operasi PDU, terhempas berhampiran Long Lellang STOLport, Ulu Baram, ketika dalam perjalanan menjalankan tugasan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman Sarawak.
Nahas itu mengorbankan lima individu di dalam helikopter berkenaan iaitu juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. -BH Online
