Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti beberapa pendekatan untuk menyediakan insentif bersasar bagi menjadikan kenderaan elektrik (EV) lebih mampu milik termasuk galakan pembelian, pemasangan tempatan dan kemudahan pengecasan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pendekatan itu bertujuan memastikan penggunaan EV dapat dinikmati kumpulan rakyat lebih luas, selain membantu mengurangkan keseluruhan kos pemilikan dan penggunaan kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, antara pendekatan sedang dipertimbangkan termasuk insentif pembelian EV mampu milik, galakan kepada EV pemasangan tempatan, bantuan berkaitan kemudahan pengecasan serta peluasan infrastruktur pengecasan awam.

Katanya, kerajaan tidak hanya menumpukan kepada harga pembelian kenderaan, sebaliknya turut mengambil kira keseluruhan kos pemilikan dan penggunaan EV supaya manfaat diberikan benar-benar dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan rakyat.

“Sekiranya insentif baharu diperkenalkan, ia perlu bersifat bersasar, memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan, menyokong industri EV tempatan dan mempunyai impak sebenar terhadap pengurangan kos pengangkutan.

“Sebarang keputusan muktamad akan diumumkan melalui Belanjawan 2027 selepas mengambil kira keseluruhan implikasi fiskal dan keberkesanan dasar,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada kerajaan bercadang menyediakan insentif atau subsidi bersasar kepada pemilik EV bagi mengurangkan kos pengangkutan rakyat, seiring pelaksanaan subsidi bersasar petrol, serta bentuk bantuan sedang dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.

Mengulas perbezaan antara subsidi bersasar RON95 dengan galakan penggunaan EV, Loke berkata, kedua-duanya adalah instrumen dasar berbeza.

Katanya, subsidi RON95 bertujuan memastikan bantuan bahan api disalurkan kepada rakyat yang layak, manakala dasar EV dilaksanakan menerusi insentif percukaian, pembangunan industri tempatan dan penyediaan infrastruktur pengecasan.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan menyediakan beberapa bentuk sokongan kepada ekosistem EV, termasuk pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 bagi perbelanjaan berkaitan kemudahan pengecasan EV di kediaman sehingga Tahun Taksiran 2027.

“Selain itu, kerajaan turut menyediakan insentif kepada pemasangan dan pengeluaran EV tempatan.

“Kerajaan sebelum ini juga melaksanakan pendekatan bantuan bersasar bagi motosikal elektrik menerusi Skim MARiiCas yang menawarkan rebat sehingga RM2,400 kepada individu yang memenuhi syarat kelayakan,” katanya. -BH Online