Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR SETAR: Kerajaan bimbang sawah padi di negara ini bakal dikuasai warga asing susulan tindakan pesawah semakin meminggirkan sektor berkenaan kerana dianggap kurang menguntungkan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pesawah tempatan sepatutnya mempertahankan kawasan jelapang padi sedia ada dan mengelak memberikannya kepada warga asing untuk diusahakan.

Katanya, ia bagi memastikan industri padi yang menjadi tunjang utama bekalan makanan negara terus berupaya menghasilkan bekalan beras kepada rakyat negara ini pada masa hadapan.

“Banyak kerja pertanian di peringkat bawah sekarang dibuat warga asing. Kalau sawah pun diambil alih warga asing, habis… semua diambil alih orang luar.

“Sawah dan padi kena pertahankan. Biar orang pribumi buat, ertinya orang Malaysia yang tanam. Jangan terlepas kepada orang asing.

“Cuba tengok kedai gunting rambut, kita kata gunting rambut rugi, tapi orang luar ambil untung. Kalau gunting rambut rugi, macam mana mereka ambil kapal terbang daripada Madras (Chennai) datang ke sini buka kedai gunting rambut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) H2 MADA Kepala Batas, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, penglibatan warga asing dalam sektor perniagaan makanan dan pertanian menyebabkan peluang kepada peniaga tempatan semakin mengecil.

Katanya, petani tempatan sering menjadikan faktor keuntungan sebagai alasan, sebaliknya petani warga asing menganggapnya sebagai peluang bagi mengusahakan perniagaan mereka.

Berikutan itu, bagi memastikan rakyat tempatan mampu bertahan dalam sektor pertanian, beliau menekankan kepentingan bantuan kerajaan sampai kepada golongan sasaran, khususnya pesawah dan penduduk di kawasan luar bandar.

Mohamad turut berkongsi pengalaman menjadi pesawah sekitar tahun 1960-an hingga 1970-an dahulu di Seberang Perai apabila keluarganya terpaksa berhutang dengan peniaga kedai.

“Dulu, kami terpaksa ambil bekalan runcit daripada kedai Ah Kaw. Tetapi padi kena jual kepada dia. Kalau harga pasaran (ketika itu) RM30 sepikul, dia bayar RM28 kerana kami berhutang dengannya.

“Orang seperti Ah Kaw itu perlu dikeluarkan sebab dia orang tengah. Sekarang bantuan kerajaan ini terlalu banyak,” katanya. -BH Online