Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menjadikan Malaysia sebagai negara transit bagi menyeludup cip kecerdasan buatan (AI) canggih bernilai RM49.5 juta ke sebuah lagi negara Asia. 

Cubaan itu terbongkar selepas JKDM merampas 30 unit pelayan (server) yang mengandungi cip AI canggih di sebuah gudang dalam Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 15 Oktober lalu.

Pengarah JKDM KLIA, Aspalila AG Tuah, berkata pelayan berkenaan dibawa masuk ke Malaysia dari sebuah negara Asia yang tidak didedahkan sebelum dirancang untuk dieksport semula ke sebuah lagi negara di Asia.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai cuba mengelak dikesan dengan mengisytiharkan pelayan berkenaan sebagai komponen elektronik biasa.

“Sindiket itu turut menggunakan Malaysia sebagai negara transit bagi memastikan tiada sekatan dikenakan ketika mengeksport pelayan berkenaan ke destinasi seterusnya,” katanya pada sidang media di Kompleks Kargo Kastam KLIA, di sini, hari ini.

Aspalila berkata, rampasan dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi selepas pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di sebuah gudang dalam Zon Perdagangan Bebas lapangan terbang berkenaan. 

Pelayan berkenaan dianggarkan bernilai RM45 juta, manakala cukai yang terbabit berjumlah RM4.5 juta, menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM49.5 juta. 

Aspalila mendedahkan bahawa kes itu adalah kes kelima membabitkan cip AI canggih yang dikesan tahun ini, dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM100 juta.

Beliau berkata, pihak berkuasa percaya kes berkenaan berkemungkinan membabitkan sindiket yang sama. 

Cip canggih itu juga dipercayai berupaya digunakan dalam teknologi yang berkaitan dengan pembangunan senjata. 

Aspalila berkata, kesemua 30 unit pelayan itu dirampas untuk siasatan dan pemeriksaan lanjut, manakala syarikat penghantaran barangan yang mengendalikan penghantaran berkenaan turut dipanggil bagi membantu siasatan. 

Siasatan awal mendapati pelayan berkenaan disyaki tertakluk kepada kawalan membabitkan barangan yang tidak disenaraikan serta aktiviti terhad di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010. 

Cip AI canggih tertakluk keperluan pemberitahuan

Di bawah Arahan Pengawal Perdagangan Strategik Bil. 1/2025 yang dikeluarkan oleh Sekretariat Perdagangan Strategik, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), cip AI canggih tertentu tertakluk kepada keperluan pemberitahuan. 

Aspalila berkata, individu atau syarikat yang berhasrat mengeksport, memindah kapal atau menjalankan transit bagi cip berkenaan perlu memaklumkan sekretariat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum aktiviti itu dilakukan sekiranya mereka mengetahui atau mempunyai alasan munasabah untuk mengesyaki cip berkenaan boleh digunakan, sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya, bagi aktiviti terhad. 

Kelulusan juga perlu diperoleh sebelum permohonan permit perdagangan strategik yang diperlukan dibuat. 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010. 

Individu yang disabitkan kesalahan kerana melakukan kesalahan di bawah peruntukan itu dengan sengaja boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, manakala entiti korporat boleh dikenakan denda sehingga RM20 juta. 

Bagi kesalahan yang dilakukan tanpa niat, individu boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, manakala entiti korporat boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta. -BH Online