Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 131 projek pembinaan sekolah baharu dan sekolah gantian diluluskan dengan kos keseluruhan RM14.789 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2027.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata daripada jumlah itu, sembilan sekolah diluluskan pada 2023, diikuti 26 sekolah pada 2024 dan 44 sekolah pada 2025 manakala sebanyak 38 sekolah diluluskan pada tahun ini serta 14 lagi pada 2027.

“Tumpuan khusus turut diberikan kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan jurang kemudahan pendidikan dapat dirapatkan dan akses kepada pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara lebih adil,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata, KPM turut memperkukuh usaha menangani buli dan salah laku disiplin di sekolah menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) secara berperingkat.

Katanya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan pada 2025 bagi pemasangan CCTV di 200 sekolah, diikuti RM5 juta untuk 333 sekolah pada 2026, manakala RM15 juta disediakan bagi 2027.

“Pemasangan CCTV akan dibuat di kawasan berisiko seperti titik buta, koridor, stor dan sekitar blok asrama.

“Lokasi pemasangan ditentukan berdasarkan nasihat teknikal Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia bagi memastikan keseimbangan antara aspek keselamatan dengan pemeliharaan privasi murid,” katanya.

Fadhlina berkata, bagi memperkukuh keselamatan di sekolah dan institusi pendidikan, KPM menempatkan 300 pembantu warden asrama pada 2026 untuk menjalankan rondaan malam secara berfokus.

Katanya, jumlah itu akan ditingkatkan kepada 500 orang pada tahun depan susulan keberkesanannya dalam mencegah insiden buli.

“Selain itu, KPM bersama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) melatih 560 guru sebagai penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Langkah itu bertujuan mengaudit aspek keselamatan fizikal sekolah, termasuk kawasan berisiko seperti tandas tersorok dan lokasi yang mempunyai pencahayaan kurang memuaskan,” katanya. -BH Online